Angkasawan Apollo 10 (1969) Dengar Azan di Angkasa Lepas
Pendedahan Angkasawan Apollo 10 yang Terdengar Azan di Angkasa | NEW YORK – Hampir 50 tahun lalu, tiga orang angkasawan roket Apollo 10 yang dalam misi ke bulan, terkejut apabila mendengar siaran radio aneh yang seakan-akan laungan azan menerusi alat fon pada kepala mereka.
Namun, mereka tidak pasti sama ada mereka patut melaporkannya suara itu yang dirujuk sebagai bunyi muzik indah kepada pihak Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat (AS).
Kejadian dianggap sebagai penuh misteri pada 1969 itu didedahkan agensi AS itu dalam siri baharu saluran televisyen tempatan Science Channel berjudul “NASA’s Unexplained Files” atau Fail-Fail Misteri NASA lapor Mynewshub.
Menurut portal berita terkenal Huffington Post, insiden pelik tersebut berlaku dua bulan sebelum misi kapal angkasa lepas Apollo 11 selepas itu mencatat sejarah apabila roketnya berjaya mendarat di permukaan bulan.
Ketika itu, Apollo 10 telah berjaya memasuki laluan orbit bulan, termasuk merentasi sisi jauh bulan, iaitu lokasi apabila semua pesawat angkasa lepas akan terputus langsung hubungan radio dengan stesen bumi sekitar sejam.
Di laluan berkenaan, tiada sesiapa pun di bumi dapat mendengar suara perbualan angkasawan dalam roket malah kedudukan sisi jauh bulan ialah hemisfera bulan yang memang tidak dapat dilihat langsung dari arah bumi.
Sebelum ini, orang ramai hanya diberitahu bahawa misi tersebut berjalan lancar, namun, beberapa rakaman rahsia yang tidak pernah disiarkan, kini mendedahkan kejadian aneh yang dialami tiga angkasawan Apollo 10 itu.
Menurut program “NASA’s Unexplained Files”, rakaman-rakaman audio itu mengandungi sejumlah bunyi muzik ganjil dan luar biasa dari radio Apollo 10 seumpama seruan azan oleh muazin dari pembesar suara di masjid.
Ia turut mendedahkan perbualan ketiga-tiga angkasawan tersebut ketika mendengar ‘alunan’ indah tersebut, dan reaksi mereka menunjukkan mereka mengaku langsung tidak pernah mendengar bunyi seperti itu sebelum ini.
Berikut ini perbualan mereka: “Bunyinya seperti muzik angkasa lepas”; “Anda dengar bunyi itu? Bunyi siulan? Whoooooooo!”; “Ya, ia memang muzik aneh!”; “Ia begitu menakjubkan!”; “Patutkah kami beritahu mereka?”
Huffington Post melaporkan, ‘irama’ mengasyikkan tersebut kedengaran hampir sejam. Sebelum ketiga-tiga angkasawan itu kembali berhubungan menerusi radio dengan bumi, mereka ada berbincang sesama sendiri.
Angkasawan Eugene A. Cernan, Thomas P. Stafford, dan John W. Young malah dilaporkan berasa serba-salah sama ada patut memberitahu sahaja Pusat Kawalan Misi di bumi tentang pengalaman unik mereka itu.
Tiga angkasawan Apollo 10, (dari kiri) Eugene A. Cernan, Thomas P. Stafford, dan John W. Young pada 1969. (Gambar fail: AFP/ NASA) |
Namun, agensi berita AFP melaporkan, jurutera NASA mendakwa bunyi ‘ganjil’ itu kemungkinan sebab gangguan pada siaran radio, akibat radio di modul lunar dan modul perintah terletak berhampiran antara satu sama lain.
Malah, juruterbang roket misi Apollo 11 selepas mereka itu, Michael Collins, berkata beliau sendiri mendengar “bunyi woo-woo yang aneh” ketika berada di sisi jauh bulan, namun tetap menerima penjelasan logik tersebut.
Collins dimaklumkan tentang hal itu terlebih dahulu, menurutnya dalam buku ‘Carrying the Fire: An Astronaut’s Journeys‘: “Mujur juruteknik radio bukan peminat UFO ada menjelaskan puncanya akibat gangguan siaran.
“Ia lazimnya boleh berlaku disebabkan oleh gangguan antara banyak gelombang radio jenis VHF (frekuensi amat tinggi) di Modul Lunar dan Modul Perintah,” ujar Collins menerusi catatan dalam buku tersebut.
Bagaimanapun, angkasawan misi Apollo 15, Al Worden menyangkal penjelasan itu dan berkata dalam program Science Channel: “Saya fikir ikut logik, jika ada sesuatu dirakamkan di sana, ini bermakna ada sesuatu di sana.”
“NASA tidak akan mendedahkan perkara-perkara rahsia tertentu bersifat sensitif kepada orang ramai jika mereka anggap ia sebagai langkah terbaik bagi kepentingan orang awam,” ujarnya lagi membidas hujah Collins.
Menurut Huffington Post, rekod transkrip perbualan angkasawan misi Apollo 10 dikelaskan sebagai maklumat sulit dan telah disimpan dengan ketat dalam arkib NASA, sehingga ia hanya didedahkan pada 2008 lalu.
“Banyak insiden dilaporkan angkasawan masa di berada angkasa lepas pernah dengar perkara-perkara yang tidak dapat dicam mereka, yang membuat anda mesti tertanya-tanya,” jelas Worden kepada Huffington Post.
Berdasarkan senario itu, tiga angkasawan Apollo 10 kemungkinan mendengar suara azan dari masjid yang dilaungkan ketika melintasi ruang angkasa mengelilingi bumi di sekitar Asia tenggara sehingga ke Afrika utara.
Lazimnya roket Apollo 1 hingga 17 pada zaman tersebut (1967-1972) akan mengikut laluan ditetapkan antaranya Indonesia, Brunei, Singapura, Malaysia, Bangladesh, India, Pakistan, Iran, Arab Saudi, Jordan, Mesir dan Libya.
Kecuali Singapura yang mengharamkan laungan azan menerusi pembesar suara masjid sejak 1974, semua negara dilalui 17 buah roket Apollo mengamalkan panggilan masuk waktu solat fardu dengan azan dari menara masjid.
Kemungkinan besar azan didengar angkasawan Apollo 10 itu merujuk waktu Subuh apabila dilaung bersahutan sambung-menyambung dari satu negara ke negara berikutnya selepas azan Isyak sebelum itu yang lama tidak bergema.
No comments: