Header Ads

Pendedahan berani mati Sarjan Azizah tentang Mona Fendy

Sarjan Azizah bongkar rahsia besar mengenai Mona Fendy | Anda kenal dengan nama Maznah Ismail atau lebih mengenalinya dengan nama Mona Fandey?

Kisah Mona menjadi tumpuan di akhbar sejak tahun 1993. Bahkan, ia semakin rancak diperkatakan ramai apabila satu persatu kegiatan jahat pasangan bomoh, Mona dan Affandi sewaktu hidup ketika dahulu didedahkan.

Pendedahan berani mati Sarjan Azizah tentang Mona Fendy

Namun, pernahkah anda terfikir sejauh mana kesahihan cerita yang disebarkan itu?

Mari kita baca pendedahan besar mengenai kes Mona Fandey yang dikongsikan menerusi malaysiandigest.com.

Sarjan Azizah bongkar rahsia besar mengenai Mona Fendy
Sarjan Azizah (kiri) bersama Mona Fandey

Adakah anda berani meletakkan jaminan seratus peratus bahawa memang ternyata Mona mati di tali gantung dengan keadaan mengerikan? atau anda lebih percaya pada versi cerita yang kononnya Mona tidak mati biarpun dia telah digantung?

Sejauh mana keyakinan orang ramai percaya 1,001 versi cerita mengenai bekas banduan terakhir di Penjara Wanita Kajang itu?

Membongkar kembali kisah benar Mona di penghujung hidupnya, wartawan Malaysian Digest berjaya menjejaki pegawai penjara yang berpengalaman bertugas di sel akhir Mona sewaktu dia dipenjarakan dahulu.

Satu temubual eksklusif bersama Pegawai Penjara Wanita Kajang, Sarjan Azizah, diatur untuk mendedahkan kepada semua masyarakat Malaysia perihal kehidupan bekas banduan akhir yang selama ini menjadi rahsia hidup wanita berusia 53 tahun itu.

Azizah sedia berkongsi kepada umum sisi-sisi rahsia Mona yang mana dia merasakan satu kenangan manis buat dirinya sepanjang 30 tahun berkhidmat sebagai warden penjara.

“Masa itu saya sedang bercuti tetapi saya dah tahu yang Mona bakal ditempatkan di sel akhir bawah jagaan saya. Kes dia memang cukup gempar pada waktu itu.

“Saya sangat takut apabila dapat tahu saya akan berjumpa dengan Mona sampaikan saya minta air penawar dekat ustaz,

“Sel akhir Mona berada paling depan sekali dan tentulah dia orang pertama yang akan saya lalui dulu. Waktu saya melangkah masuk pada hari pertama selepas bercuti, saya dengar ada orang bagi salam.

“Saya tahu itu Mona. Saya buat tak tahu. Hari kedua dan ketiga pun, saya dengar Mona beri salam lagi tapi tetap saya buat tak tahu,

“Pada hari keempat apabila dia bagi salam, baru saya jawab salam dia. Mona kata antara ramai-ramai staf di penjara, dia paling suka saya. Saya tanya kenapa? Dia jawab gerak hati.

“Saya tak pernah sangka seumur hidup saya, dengan ‘salam’ yang diberikan Mona itu telah menjadikan dia seorang sahabat saya,” katanya.

Tambahnya, Mona merupakan seorang yang sangat gemar berbual. Tidak pernah kering dengan topik perbualan membuatkan Azizah berasa sangat senang mendengar cerita-cerita daripada Mona.

Sarjan Azizah bongkar rahsia besar mengenai Mona Fendy

Malah, Mona sangat suka bercerita mengenai anak-anaknya, bekas suami, suami kini, resepi masakan dan banyak lagi.

Hanya Azizah sahaja yang ketika itu tidak gentar bersua muka dan bertentang mata dengan wanita yang dikatakan memiliki ilmu kesaktian luar biasa itu.

Kebanyakkan kakitangan penjara ketika itu, rata-ratanya berusaha untuk mengelak daripada menguruskan rutin harian Mona kerana bimbang dengan ‘ilmu hitam’ dimilikinya.

“Saya panggil Mona ‘Makcik’ dan dia panggil saya ‘Cik Jah’. Percaya atau tidak, Mona ni sebenarnya seorang wanita yang sangat menjaga solat lima waktu.

“Bukan itu saja, solat sunat dan wirid juga tidak pernah ditinggalkannya, Setiap hari saya dengar Mona mengaji al-Quran sehingga saya sendiri rasa terpegun.

“Waktu dia baca wirid pula, saya pernah minta dia kuatkan suara kerana saya bimbang dia membaca bacaan yang ‘salah’. Apa yang saya dengar adalah perkataan ‘Subhanallah’ yang tidak berhenti keluar dari mulut Mona,

Sarjan Azizah bongkar rahsia besar mengenai Mona Fendy

“Mona seorang wanita yang sangat sopan apabila bercakap. Dia sangat peramah tetapi masih menjaga adab dalam percakapannya. Sebaik-baik Mona apabila berbual, tidak pernah sekalipun dia bercakap buruk mengenai orang,

“Walaupun pada ketika itu kakitangan penjara ramai yang mengatanya tetapi Mona sangat sabar dan positif. Tak pernah dia nak membalas atau memburukkan orang,

“Mona sangat suka berkongsi resepi masakan dengan saya. Dia kata dia suka letak daun pandan dalam masakan sebab akan jadi wangi. Saya nampak dia seorang yang penyayang dan ikhlas,” katanya.

Pernah beberapa kali Azizah terbaca cerita mengenai Mona di akhbar seperti, Mona terapung di dalam sel, Mona boleh membaca Surah Al-Fatihah dengan terbalik, Mona dilihat keluar dari sel oleh salah seorang kakitangan penjara dan bersiar-siar di Chow Kit dan banyak lagi.

Demi mendapatkan kepastian, Azizah akan terus bertanya kepada Mona mengenai cerita-cerita mistik yang dibacanya.

“Saya suruh Mona apungkan badan dia macam dalam suratkhabar laporkan. Mona kata gila ke apa? Mana dia boleh apungkan diri dia.

“Kemudian saya suruh dia baca Surah Al-Fatihah terbalik. Mona jawab, sedangkan nak baca bismillah terbalik pun susah apatah lagi Surah Al-Fatihah,

“Paling menarik, saya pernah tanya pada Mona betul ke dia keluar sel dan ke Chow Kit? Mona jawab, kalau dia boleh keluar sel buat apa dia nak ke Chow Kit? Baik dia balik ke rumah dan tak perlu masuk ke dalam sel lagi.

“Namun, apabila kita fikirkan balik, apa yang dikatakan Mona itu benar. Kalau betul dia ada kuasa yang boleh memboloskan diri dari penjara, lebih baik dia pulang ke rumah dari ke Chow Kit,” seloroh Azizah sambil tersenyum.

Seketika Azizah terdiam, kemudian menyambung semula ceritanya.

Dia akui terdapat satu cerita di sebalik kes ini yang tidak diketahui umum. Barangkali yang tahu sekalipun, mereka yang terlibat secara langsung sepanjang tempoh perbicaraan kes pembunuhan Datuk Mazlan ini.

Ujarnya, Mona sering meyakinkannya mengenai kejadian sebenar yang berlaku pada tarikh pembunuhan ahli politik itu dan Azizah akui pada awalnya sukar untuk mempercayai kata-kata Mona.

Namun, ternyata Mona berjaya membuktikan kepada Azizah bahawa dia tidak menipu kerana kenyataannya di penjara dan mahkamah begitu konsisten sekali. Tiada perubahan cerita, tiada perubahan fakta. Mona kelihatan begitu tenang menghadapi perbicaraan kesnya itu.

Tahukah kita semua bahawa sebenarnya Mona bukan suspek utama kes pembunuhan Datuk Mazlan Idris?

Dia merupakan OKT-3 (Orang Kena Tuduh Ketiga) manakala dalang sebenar kes pembunuhan ini adalah OKT-1 dan OKT-2 yang merupakan suami Mona sendiri, Affandi dan pembantu peribadi mereka, Juraimi.

Sarjan Azizah bongkar rahsia besar mengenai Mona Fendy
OKT-1

Sarjan Azizah bongkar rahsia besar mengenai Mona Fendy
OKT-2

Hakikatnya, pada hari kejadian mangsa dibunuh kejam Mona sekadar mendapat arahan daripada Affandi untuk keluar memetik bunga sebelum satu upacara mandi bunga bersama mangsa dijalankan.

Mona duduk di atas bahagian kepala mangsa yang berada dalam posisi baring kemudian secara tiba-tiba Juraimi meluru masuk dan… (Azizah terdiam)

“Saya berada sepanjang prosiding mahkamah berlangsung kerana atas permintaan Mona sendiri, dia tidak mahu pegawai lain yang mengiringinya.

“Jadi, tangan saya akan digari bersama tangan Mona ke mana sahaja. Mona telah membuktikan dia bukanlah dalang dalam kejadian ini. Cuma silapnya Mona berada di tempat kejadian dan dianggap ‘bersubahat’. Dia tidak tahu akan ada pembunuhan yang akan berlaku pada malam kejadian itu. Percayalah, Mona Fandey tidak bersalah,

“Keputusan telah dibuat. Hakim menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap OKT-1, OKT-2 dan OKT-3 tetapi peguambela Mona tidak berputus asa dan membuat rayuan,

“Hakim mempertimbangkan perkara itu kerana Mona hanya OKT-3 dan boleh dibebaskan. Peguambelanya memujuk Mona untuk pulang bersama anak-anak yang sedang menantinya. Ujar Mona, jika dia dibebaskan, dia mahu Affandi juga dibebaskan. Jika suaminya digantung, biarkanlah dia digantung bersama Affandi,

“Itu pilihan Mona. Dia nak bersama Affandi. Maka Mona tegas dengan pendirian yang mahu sabitan ke atas dirinya diteruskan. Saya nampak Mona seorang isteri yang sangat baik dan sayangkan Affandi. Secara jujurnya, selama saya menjaga Mona di sel akhir saya sendiri gagal menemui kejahatan dari dalam dirinya,

“Saya masih ingat satu cerita dimana orang yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan jenazah Mona selepas digantung menyatakan dia sendiri tidak tahu dimana nak mencari cacat cala pada jenazahnya kerana Mona meninggal dengan keadaan sangat baik. Tubuh yang bersih dan mudah diuruskan,” ujarnya lagi kepada Malaysian Digest.

Sarjan Azizah bongkar rahsia besar mengenai Mona Fendy

Menariknya, bekas suami Mona yang juga merupakan seorang anggota polis tidak pernah terlepas daripada menghadiri perbicaraan kes bekas isterinya itu. Kehadiran bekas suami Mona tanpa jemu ke mahkamah membuatkan Azizah tertarik untuk mendekati lelaki itu.

Apa yang mengharukan hatinya apabila bekas suami Mona menjawab:

‘Mona nak bunuh semut pun tak sampai hati. Waktu nak siang ikan pun dia menangis, apatah lagi nak kerat manusia.”

Bahkan, anak-anak Mona juga sentiasa hadir dalam perbicaraan ibu mereka sebagai tanda memberi sokongan kepada Mona. Anak-anak Mona pernah menyatakan bahawa mereka lebih mengenali siapa ibu mereka yang sebenar.

Disitu Azizah mengakui Mona merupakan seorang ibu yang berjaya membentuk keperibadian serta akhlak yang tinggi dalam diri anak-anaknya.

Mereka sangat mentaati Mona biarpun ibu mereka itu bakal berhadapan dengan hukuman gantung sampai mati dan menelan stigma masyarakat kita yang sentiasa negatif sehingga ke hari ini.

Kerana cintakan suami, si isteri mengorbankan kebebasannya biarpun sudah terbukti tidak bersalah. Begitu juga, kerana kasihkan suami, Mona memilih untuk sehidup semati di tali gantung bersama Affandi.

“Saya pelik macam mana orang luar yang tak pernah masuk penjara, tak pernah jumpa Mona atau menguruskan halnya selama dia dipenjara, lebih banyak bersuara seperti mengetahui segala-galanya berbanding saya yang bersama Mona siang dan malam?

“Saya sampai tarik kerusi duduk depan sel Mona untuk teman dia berbual, orang lain lagi mengetahui selok belok hal Mona?

“Benda yang paling saya sedih sekali, sehari sebelum Mona digantung saya nampak dia dibawa turun dari tingkat atas ke bawah. Muka dia nampak ceria sangat. Senyum tak sudah! Saya tanya Makcik nak kemana?

“Mona jawab dia nak pergi ‘shopping’! Sebenarnya, dia dapat jumpa Affandi dipenjara sebelah, Sampai pusing di ‘corner’ bangunan, saya nampak dia toleh dekat saya dan tersenyum biarpun kedua tangannya bergari.

“Saya sendiri terlupa hari itu adalah hari Khamis, dimana banduan beragama Islam akan digantung pada pagi Jumaat. Itupun kawan saya yang juga baik dengan Mona beritahu, Mona dah nak digantung esok,

“Saya terduduk dan menangis tak berhenti. Itulah kali terakhir saya jumpa Mona dan saya sampai sekarang tak dapat lupa senyuman dia.

Sarjan Azizah bongkar rahsia besar mengenai Mona Fendy

Jelas Sarjan Azizah, cerita-cerita mistik dilaporkan media hanyalah rekaan semata-mata.

“Kalau saya tahu dia akan digantung, tentu sekali perkara yang nak saya buat adalah memeluk Mona. Saya kenal siapa Mona Fandey. Saya terlalu rindukan dia,” katanya dan pada saat itu Azizah menitiskan air matanya.

Ujarnya, Mona tidak seperti banduan akhir yang lain. Keikhlasan yang ada dalam diri Mona benar-benar dapat dirasai Azizah. Kenakalan Mona yang sering mengusik kakitangan penjara yang lemah semangat dan gemar mengatanya kadang kala membuatkan Azizah tersenyum sendirian tatkala teringatkan kenangannya menjaga sel akhir Mona.

Sehingga hari ini, Azizah tetap setia menyimpan kenangan manis bersama seorang wanita yang amat ‘digeruni’ rakyat Malaysia dan ‘kononnya’ pembunuh paling kejam di Malaysia.

Biarpun berstatus banduan akhir yang telah digantung, Mona tetap mempunyai ruang istimewa di hati Azizah dan dia percaya Allah lebih mengetahui dimana kedudukan yang selayaknya buat insan semurni Allahyarhamah Maznah Ismail.

Ternyata setiap manusia tidak terlepas dari membuat kesilapan sewaktu hidup. Bahkan, urusan pahala dan dosa bukanlah selayaknya diadili oleh manusia lebih-lebih melibatkan aibnya sewaktu hidup.

Memetik kata Ustaz Abdul Rasyid yang sudah berpengalaman lebih tiga dekad mengendalikan hal ehwal agama banduan:

“Alhamdulillah, Mona mengucap dengan fasih siap dengan terjemahan sekali. Pada sayalah, dia tahu waktu dia nak mati. Balasan dunia dia dah terima. Dengan Tuhan, kalau Tuhan terima taubat dia, mungkin dia jauh lebih baik dari kita semua.” – Sumber Arkib Negara : Mona Fandey.

Apakah dengan tulisan ini mampu mengubah stigma anda pada wanita bernama Mona Fandey supaya diletakkan dalam ruang yang adil berdasarkan kebaikannya sewaktu hidup dahulu?

Atau anda lebih selesa untuk terus memahami ‘cakap-cakap’ orang mengenai kejadian yang berlaku kerana sudah dididik dengan ‘trend’ bahawa Mona Fandey adalah pembunuh paling kejam di Malaysia?

(Baca: Filem Dukun Akhirnya ‘Terlepas’ Juga Untuk Tontonan Selepas Sedekad Diharamkan)

No comments:

Powered by Blogger.