Header Ads

Jawapan Ezad Lazim Bila Ditanya Kenapa Sertai MLM 2016

Ditanya Kenapa Muncul di MLM 2016, Jawapan Ezad Lazim Buat Peminat Sebak | Berdepan pelbagai dugaan hidup, membuatkan bekas penyanyi utama kumpulan Exists, Ezad berusaha melakukan apa saja demi memastikan masa depan keluarganya terbela.

Dia tidak gentar bersaing di pentas Gegar Vaganza musim kedua (GV2) bersama penyanyi popular lainnya kemudian menyahut cabaran menyertai pertandingan Maharaja Lawak Mega 2016 (MLM 2016) bersama Ajo dan Abu membentuk kumpulan Bos.

Kata Ezad Lazim, dia lakukan semua itu untuk memastikan anak dan isterinya terjaga makan pakai mereka. Malah Ezad tidak patah semangat apabila persembahannya beberapa kali dikritik juri tetap mahupun juri jemputan atas per­sembahan kurang memberangsangkan lapor Harian Metro.

Jawapan Ezad Lazim Bila Ditanya Kenapa Sertai MLM 2016

Sebagai manusia, Ezad atau Mohd Rohaizad Mohd Lazim turut sedih apabila dikritik tetapi setiap kali berasa sedih dengan kritikan diterima, dia teringat isteri dan anak.

“Apabila dikritik ketika di pentas MLM 2016 atau sewaktu bersaing dalam GV2, saya terus membayangkan wajah isteri dan anak untuk dijadikan sebagai sesuatu yang positif dan kembali bersemangat untuk memberikan persembahan terbaik,” katanya.

Kata Ezad, mendengar kritikan agak pedas dan menyakitkan, namun dia tahu sekiranya perkara itu diambil dan digunakan bagi memperbaiki diri pasti akan menjadikan dia insan seni lebih baik.

Lebih daripada itu katanya, suka atau tidak dia lalui semua itu bagi memastikan kelangsungan kerjaya demi masa depan keluarga.

“Macam orang kata mengapa saya tamak sebab habis saja Gegar Vaganza, terus masuk MLM 2016. Ingin saya jelaskan, selain menyanyi saya juga berlakon dan pernah membintangi beberapa filem sebelum ini seperti Mami Jarum, Mistik dan Tangkai Jering.

“Kebanyakan filem mahupun drama saya bintangi adalah komedi, jadi genre itu tidak asing dengan saya. Apabila ditawarkan menyertai MLM 2016, saya menerimanya untuk mengembangkan lagi bakat sedia ada. Tambah pula saya jarang berpeluang mengadakan persembahan lawak secara langsung seperti di MLM 2016,” katanya.

Kata Ezad, sebelum membabitkan diri dalam GV2, dia pernah menjalani uji bakat menyertai MLM2015, tapi waktu itu dia hanya layak sehingga peringkat ‘hot seat’.

“Tahun ini pun hendak diikutkan, saya hanya layak di peringkat ‘hot seat’ tetapi mungkin kerana pembabitan saya dalam GV2, banyak membantu dari segi nama dan populariti membolehkan saya bergabung dengan Ajo dan Abu untuk bertanding.

“Tambah pula di utara tanah air, saya bersama Ajo dan Abu sudah biasa mengadakan persembahan pentas dan teater komedi jadi kami memang sudah serasi bersama sejak dulu,” katanya.

Ezad akui disebabkan sudah lama tidak berlakon filem mahupun drama membuatkan ada pihak lupa dia pernah berlakon filem komedi.

Malah populariri dan kedudukan tempat ketiga dalam GV2 membuatkan ada yang berasakan Ezad tidak perlu menyertai MLM 2016.

Tegas Ezad Lazim, buat masa ini dia tidak boleh bergantung penuh kepada bidang nyanyian semata-mata kerana keadaan ekonomi kurang memberangsangkan dan tawaran mengadakan persembahan tidak menentu.

“Apabila ada tawaran menyertai program seperti Gegar Vaganza MLM, saya terima kerana sekurang-kurangnya saya memperoleh pendapatan tetap setiap minggu.

“Duit itu saya ketepikan untuk simpanan apatah lagi saya menghidap penyakit kencing manis dan isteri baru-baru ini dikesan kemungkinan mengidap Tumor Stroma Gastrousus (GAST).

“Anak-anak masih kecil, yang sulung, Puteri Rania Keisha, 2, dan isteri baru saja selamat melahirkan anak kedua, Putera Mohd Darwish, berusia 3 bulan.

“Isteri tidak bekerja dan bertindak sebagai pembantu peribadi sekiranya ada kelapangan. Masa depan tidak boleh diramal dan saya berusaha untuk memastikan andai terjadi sesuatu, nasib isteri dan anak terbela,” katanya.

Ezad bersyukur kerana keadaan isterinya ada sedikit sinar. Sebaik melahirkan anak kedua, pemeriksaan dijalankan menunjukkan tanda tumor yang tumbuh dalam tubuh isterinya tidak kelihatan.

Begitupun katanya, pemeriksaan secara berkala harus dilaksanakan dan pemeriksaan terbaru keputusannya belum lagi diperoleh.

“Saya mengidap penyakit kencing manis sejak lima tahun lalu dan sekarang bergantung kepada ubat sepenuhnya. Itu yang kadang-kadang orang mengaitkan badan saya susut kerana mengambil ‘benda’ terlarang.

“Saya tidak pernah berahsia apabila orang bertanya mengenai situasi mengapa tubuh saya semakin kurus. Orang yang mengalami kencing manis memang akan kehilangan berat badan,” katanya.

Kata Ezad, dia berkongsi perkara itu bukan kerana mahu meraih simpati tetapi mengharapkan semua orang faham mengapa dia membuat keputusan untuk menyertai MLM 2016 dan GV2.

“Sebagai penyanyi, walaupun sudah punya nama dalam industri tetapi pesaingan daripada pendatang baru sentiasa ada.

“Saya harus memastikan terus releven dalam industri, jika tidak orang akan lupakan saya. Apabila lupa, bermakna tawaran untuk saya menyanyi akan berkurangan. Kalau itu berlaku, bagaimana saya mahu me­nyara keluarga. Saya tidak boleh biarkan itu berlaku.

“Penyanyi baru juga terlalu ramai sekarang dan lagu yang dihasilkan bukan semuanya mendapat perhatian pendengar.

“Ruang untuk penyanyi mempromosikan karya mereka juga terhad sekarang apatah lagi jualan cakera padat mahupun lagu dalam talian semakin merudum. Perkembangan ini sangat membimbangkan dan saya tidak boleh bergantung kepada kerjaya nyanyian saja,” katanya.

Kata Ezad, peluang me­nyertai Gegar Vaganza dan MLM 2016 banyak membantunya mengingatkan peminat terutama generasi muda yang tidak mengenali Exists atau karya yang pernah dinyanyikan sebelum ini secara solo serta kerjaya lakonan yang pernah diceburi sebelum ini.

“Ternyata pembabitan saya dalam GV2 menyebabkan kerjaya seni saya kembali sibur dan berpanjangan,” katanya.

No comments:

Powered by Blogger.