Header Ads

Berlakon alim, rupanya pencuri

Pencuri wanita alim kantoi | Lagak seorang perempuan yang sentiasa solat di surau di kompleks beli-belah di bandar ini membongkar tembelangnya apabila dia didapati mencuri telefon bimbit milik wanita lain sejak enam bulan lalu.

Malah, suami kepada suspek berusia 31 tahun terbabit turut bersubahat apabila menghantar isterinya ke premis berkenaan untuk melakukan jenayah itu.

Pasangan terbabit kemudian akan menjual telefon bimbit itu pada harga serendah RM200 kepada pemilik premis menjual telefon bimbit di Jalan Pasar Besar, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, tembelang pasangan terbabit terbongkar selepas mereka ditahan dalam serbuan di rumah di Taman Tas, di sini, pada 27 Januari lalu lapor Harian Metro.

Berlakon alim, rupanya pencuri
Gambar hiasan.

“Pemeriksaan di rumah pasangan yang mempunyai dua anak itu membawa kepada penemuan satu tablet Lenovo, dua telefon bimbit dan iPad yang dipercayai dicuri.

“Polis turut menemui beg tangan berjenama diletakkan di tempat duduk belakang kereta Perodua Alza yang digunakan pasangan terbabit setiap kali mereka ke kompleks beli-belah berkenaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini, semalam.

Susulan tangkapan pasangan itu, beliau berkata, polis menyerbu premis menjual telefon bimbit di Jalan Pasar Besar dan merampas 19 telefon bimbit pelbagai jenama dipercayai dijual suami isteri itu.

“Semua barangan berkenaan dianggarkan bernilai RM20,000,” katanya.

Abdul Aziz berkata, berdasarkan siasatan awal, pasangan terbabit mengaku menyasarkan surau di Berjaya Megamall dan East Coast Mall, di sini, untuk mencuri barangan berkenaan.

Pencuri wanita alim kantoi

“Suspek wanita itu akan berpura-pura ke surau menunaikan solat dan akan menggeledah beg tangan milik wanita lain ketika mangsa solat.

“Selain telefon bimbit, wanita itu akan mengambil barang kemas dan wang tunai tetapi tidak melarikan beg tangan berkenaan.

“Selepas itu, dia dan suaminya akan menjual hasil curi itu di premis di Jalan Pasar Besar,” katanya.

Katanya, susulan penahanan suspek, pihaknya percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya sembilan kes curi di surau di kompleks beli-belah di bandar ini.

“Sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai supaya tampil membuat laporan jika mereka pernah kehilangan telefon bimbit atau barangan berharga apabila mengunjungi surau di kompleks beli-belah,” katanya.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing turut mendapati lelaki terbabit positif dadah Amphetamine.

“Pasangan terbabit kini ditahan reman sehingga hari ini (semalam) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan,” katanya.

No comments:

Powered by Blogger.