Stesen tv utama pelakon baru yang ada rupa dari bakat, Fizz Fairuz kecewa
Fizz Fairuz kecewa stesen tv utama pelakon baru yang ada rupa dari bakat | SELEPAS Almy Nadia meluahkan kekecewaan apabila dipinggirkan beberapa syarikat produksi kerana saiz badannya yang masih berisi selepas melahirkan anak.
Kini giliran suami Almy, Fizz Fairuz meluahkan perasaan sama!
Bagaimanapun berbeza dengan Almy, aktor berusia 36 tahun ini kecewa apabila namanya beberapa kali ditolak stesen televisyen bagi membintangi drama terbitan stesen tersebut.
Menyifatkan keputusan itu tidak adil buatnya, Fizz berkata, kini hampir tiga bulan dia tidak menerima tawaran berlakon drama lapor Sinar Harian.
“Kalau ada tawaran, saya terpaksa tolak kerana sering ditawar watak sama. Saya tak mahu jadi pelakon tangkap muat sahaja.
“Kebanyakan alasan diterima kerana stesen TV tersebut mahukan muka baharu menerajui watak utama sesebuah drama.
“Bagi saya, pelakon baharu bertuah kerana ketika zaman saya mula-mula berlakon, peluang untuk pegang watak utama susah.
“Saya rasa tidak adil dan bukan saja saya malah beberapa lagi artis seangkatan saya juga merasakan kami sudah semakin dipinggirkan.
“Bakat baharu yang ada, sesetengah mereka bakatnya belum betul-betul menyerlah, tetapi disebabkan hanya kerana mempunyai paras rupa, dengan mudah boleh dapat tawaran memegang watak utama,” katanya yang ditemui pada majlis Karnival Hello Kitty Go Around In Malaysia, bertempat di Viva Home Cheras.
Karnival tersebut yang berlangsung sejak Disember tahun lalu dilanjutkan sehingga 14 Februari depan.
Fizz bagaimanapun bersyukur apabila masih diberi kepercayaan untuk berlakon filem dan filem terbaharu lakonannya, Munafik, akan menjengah pawagam seluruh tanah air mulai 25 Februari ini.
Cari alternatif
Tidak hanya mahu terus menanti, dia mengambil nasihat oleh Datuk Rosyam Nor kepadanya sebelum ini.
“Saya masih ingat kata-kata Datuk Rosyam kepada saya. Katanya, cukup masa lima tahun saya raih populariti dan nama sudah dikenali, saya harus mencari alternatif baru.
“Katanya, dalam tempoh masa lima tahun itu mungkin sudah banyak watak yang saya sudah lakonkan. Jadi saya harus buat sesuatu dan tidak hanya bergantung pada rezeki bidang lakonan.
“Saya sedar tempoh populariti saya sudah berlalu. Apa pun, saya percaya pada rezeki dan tetap berusaha kerana saya sayangkan karier dan dunia lakonan,” ujarnya.
Dek kerana itu, ujar Fizz Fairuz sejak empat tahun lalu, dia sibuk menguruskan syarikat miliknya Rain Maker Creation.
Lebih membanggakan, ayah kepada Nur Afrina Ariana, 11 bulan, ini mendapat projek untuk mengendalikan Karnival Joget Pahang sempena tahun melawat Pahang 2016.
“Empat tahun saya rancang dan dalam pada itu buat kertas kerja. Alhamdulillah, pihak kerajaan negeri menyambut baik cadangan dan perancangan daripada syarikat saya.
“Kami akan realisasikan karnival tersebut sebaik saja selepas pelancarannya berlangsung pada bulan hadapan. Setakat ini, mengikut perancangan lokasi pelancaran mungkin akan diadakan di Termerloh atau di daerah kelahiran saya, Raub.
“Banyak lagi perancangan saya sepanjang tahun ini. Mungkin ini peluang dan rezeki baru saya sambil teruskan karier lakonan,” jelasnya.
No comments: