Nasi lemak ayam berharga RM3 di kantin sekolah cetus persoalan
Wajarkah Nasi lemak ayam dengan harga RM3 di kantin sekolah? | Wajarkah sepinggan nasi kosong atau nasi lemak dengan ayam goreng dijual dengan harga RM3 di sekolah rendah?
Itu persoalan dibangkitkan seorang ibu yang mahu dikenali sebagai Suzie, 32, ketika ditemui menemani salah seorang anaknya yang kini berada di tahun 3 sebuah sekolah di ibu kota.
Menurutnya, harga tersebut dianggap mahal bagi seorang budak yang kebanyakan dari mereka hanya membawa wang saku sebanyak RM3 lapor Sinar Harian.
“Budak baru tengah membesar seleranya memang tinggi, lepas makan nasi dia mahu beli makanan ringan atau nuget pula.
“Kalau bawa RM3, lepas makan nasi dengan ayam dah tak boleh nak membeli lain, nak beli air pun tak lepas.
“Saya ibu tunggal dan kerja tak tetap, memang tak boleh nak bagi lebih sebab ada dua anak bersekolah,” katanya.
Suzie berkata, adakala dia bekalkan makanan kepada anaknya bagi menjimatkan belanja.
“Harap kantin sekolah dapat teliti semula harga kerana nasi dan ayamnya juga tidak besar mana, jual pula dengan budak bawah umur, kalau sekolah menengah mungkin boleh diterima,” katanya.
Seorang ibu lagi yang ditemui, Yanti, 38, berkata, dia kerap juga menghantar bekalan kepada anaknya setiap kali rehat atas permintaan anaknya itu.
“Nak bagi duit belanja itu masih mampu walaupun harganya agak mahal tapi saya lebih pentingkan kualitinya.
“Kesian juga dengan anak sebab perlu berebut untuk makan sedangkan waktu rehatnya juga tak panjang,” katanya.
Katanya, aspek kesihatan makanan antara perkara yang dibangkitkan oleh ibu bapa setiap kali mesyuarat tahunan PIBG.
“Ada kes makanan busuk dan harga mahal juga. Beberapa kali juga kontrak peniaga di kantin ini bertukar tangan, namun perkhidmatan yang diberikan masih belum memuaskan.
“Setakat ini anak belum mengadu alami sebarang masalah sakit perut atau ayam dijual sudah busuk kerana jarang membeli makan di kantin,” katanya.
No comments: