Veteran Umno rayu Muhyiddin Yassin bertenang
Rayuan veteran Umno kepada Muhyiddin Yassin | Veteran Umno merayu kepada Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yasin, supaya bertenang dan bersabar semasa menghadapi dugaan yang mencabar sekarang.
Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, pihaknya yakin, seorang pemimpin yang banyak berpengalaman dan pernah melalui liku-liku pahit manis dalam Umno, akan sentiasa berlapang dada.
“Oleh itu, atas nama perpaduan dan keutuhan parti, veteran dengan rendah diri memohon Tan Sri Muhyiddin bertenang dan meneruskan tugas dan kerjanya kepada parti seperti yang beliau janjikan sebelum ini,” katanya memetik Sinar Harian.
Mustapha berkata tindakan berdiam diri bukan bermakna mengalah.
Katanya lagi, dalam mana-mana organisasi pun tidak semua cadangan akan diterima dalam mesyuarat.
“Pengerusi juga sering mendapat tentangan ahli jawatankuasa. Tapi demokrasi menentukan pandangan majoriti yang diterima. Oleh itu, pihak minoriti mestilah menerima keputusan itu sebagai keputusan bersama,” katanya.
Dalam pada itu, Mustapha berkata, pihaknya amat bimbang, pertelagahan dalam pucuk pimpinan Umno ini sekiranya berterusan dan akan memberi kesan buruk kepada parti serta PRU14 nanti.
“Veteran yakin, Tan Sri Muhyiddin tidak mahu melihat Umno kecundang nanti, kerana kecundangnya Umno bermakna kegagalan beliau sebagai timbalan presiden. Tan Sri Muhyiddin pernah menjadi pemimpin Umno yang berjaya, dan beliau juga mampu menjadi seorang pengikut yang setia,” katanya.
Oleh itu, Mustapha berkata, demi Melayu, Umno dan Islam, veteran berharap Muhyiddin Yasin dapat betenang dan berlapang dada.
“Veteran tidak mahu kehilangan mana-mana pemimpin yang telah banyak berjasa kepada parti. Tan Sri Muhyiddin sebagai timbalan presiden dan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai naib presiden tetap kami hormati dan sanjungi selagi mereka berdua kekal dijawatan itu,” katanya.
No comments: