Susulan kes curi telefon Low Yat
Susulan kes curi handphone Low Yat | Seorang saksi dalam kes curi telefon di Plaza Low Yat pada Julai lalu memberi tahu mahkamah majistret hari ini bahawa tertuduh telah mengambil telefon bimbit itu dan terus meninggalkan kedai telefon terbabit.
Bekas pekerja Techasia Boutique, See Ming Ho berkata tertuduh iaitu Shahrul Anuar Abdul Aziz, telah mengambil telefon itu ketika dia berpusing ke belakang untuk mengambil hadiah percuma bagi pembelian telefon bimbit berjenama Lenovo itu.
Kes curi telefon Low Yat : "Saya nampak dia ambil telefon" - Saksi |
“Saya nampak dia ambil telefon dan meninggalkan kedai (di tingkat UG) dan saya lihat dia lari ke arah eskalator. Masa tu saya jerit pencuri! pencuri! pencuri! sebanyak tiga kali dan lihat dia terjatuh (sebaik menuruni eskalator ke tingkat bawah, iaitu G),” katanya memetik laporan Bernama.
See Ming Ho memberi keterangan tersebut pada perbicaraan hari pertama dalam kes Shahrul Anuar, 22, seorang penganggur yang didakwa mencuri telefon bimbit tersebut yang berharga RM800 di Techasian Boutique, Plaza Low Yat, pada jam 4.47 petang pada 11 Julai yang lalu.
See Ming Ho yang juga jurujual di kedai telefon terbabit pada ketika kejadian berkata dia menjerit meminta tolong selepas melihat tindakan tertuduh.
Beliau kemudian bergegas turun ke tingkat G dan melihat tertuduh sudah ditahan oleh pekerja di sebuah kedai telefon lain. Tidak lama selepas itu pengawal keselamatan di Low Yat datang dan membawa tertuduh ke bilik pengawal.
“Semasa saya berada di bilik pengawal keselamatan, saya tanya kepada tertuduh, bolehkah serah telefon itu kepada saya, lelaki itu berkata telefon itu tidak ada,” katanya sambil menambah dia kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian.
Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Nur Hayati Don Omar yang mewakili tertuduh, See Ming Ho berkata dia bersetuju dengan cadangan peguam bahawa kedainya terletak di tempat laluan orang ramai namun dia tidak bersetuju sesiapa sahaja boleh mengambil telefon terbabit dan beredar dari situ.
Saksi ketika menjawab soalan balas peguam Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, memberitahu dia tidak tahu dimana telefon bimbit itu berada selepas tertuduh terjatuh dari eskalator
“Saya tidak nampak telefon semasa saya sampai di situ (tempat tertuduh terjatuh).
“Saya nampak tertuduh berlari ke bawah kemudian dia terjatuh dari eskalator, (masa itu) saya nampak tertuduh dengan telefon, cuma (selepas tertuduh jatuh) telefon jatuh ke arah mana saya tak pasti,” katanya yang memberitahu terdapat ramai orang di tempat kejadian ketika itu.
Selain dari peguam Nur Hayati dan Abdul Aziz, tertuduh juga diwakili oleh Mohd Khairul Azam Abdl Aziz dan Mohammad Yahya Zakaria.
Perbicaraan bersambung esok.
No comments: