Header Ads

Sindir ‘Iman’ Peminat Star Wars, Ustaz Kena 'Tarbiyah' sentap

Ustaz Kena Dikritik Kerana Sindir ‘Iman’ Peminat Star Wars | Dua hari selepas filem hebat Star Wars ditayang di sini, seorang ustaz memperli peminat-peminat filem sains fiksyen itu dengan menganggap mereka dikuasai “ajaran Jediisme.”

Akibatnya, apabila persoalan iman diungkit, peminat-peminat tegarnya mengkritik balik dengan pedas penceramah agama itu, yang tetap berkeras mempertahankan sikapnya lapor Malay Mail.

Sindir ‘Iman’ Peminat Star Wars, Ustaz Kena 'Tarbiyah' sentap

Dengan mengepilkan keratan akhbar “gila Star Wars” yang melaporkan sambutan hangat terhadap filem ciptaan George Lucas, Rohidzir Rais menyindir peminat-peminatnya dengan menggelarkan mereka “pengikut ajaran Jediisme.”

“Di Barat sudah ada agama baru digelar Jediisme yang menjadikan filem ini sebagai asas ‘iman’ mereka. Masih tidak sedar? Masih mahu pertahankan ‘iman’ anda?” coretnya di Facebook hujung minggu lalu.

“3 S, skrin, sukan dan seks. Generasi Y kita tewas dengan semua S ini.”

Sehari sebelumnya, Sabtu lalu, lulusan Universiti Azhar itu menyebut Lucas sebagai “nabi George al-Lukasi” yang berjaya menyebarkan “agama Jedi” di seluruh dunia “berkat mukjizat pedang sakti.”

“Kalut dengan pertempuran dan perjuangan palsu alam khayalan, lupa kita dengan peperangan sebenar terhadap umat Islam di seluruh dunia,” coretnya di laman sosial itu.

Ustaz Kena Dikritik Kerana Sindir ‘Iman’ Peminat Star Wars

Jediisme disifatkan “satu kumpulan agama” yang mengambil ilham daripada Jedi, perkumpulan watak dalam Star Wars, menurut Wikipedia. Ia mula menarik perhatian ramai sejak 2001 apabila agama “Jedi” dimasukkan dalam bancian walau ramai percaya ia ditulis untuk suka-suka atau bantahan.

Namun Rohidzir, penulis 30 buku yang sering muncul di program TV9 “Tanyalah Ustaz”, menganggap Jediisme satu ajaran yang serius dan mengancam. Beliau terus mempertahankan pendiriannya beberapa hari kemudian apabila dikritik pertama kali.

“Galaksi Malaysia sangat bertuah mempunyai mujahidin Jedi yang gagah perkasa mempertahankan galaksi mereka. Kita yakin sekiranya Perang Dunia ke-3 meletus, mereka bersedia untuk syahid bersama dengan Force yang kental dalam dada.”

“Tahniah sekali lagi kepada George al-Lukasi al-Yahudi kerana berjaya melahirkan generasi mujahidin Jedi yang bersedia menyerang siapa sahaja yang mencabar galaksi mereka,” sindirnya lagi.

Peminat-peminat “Star Wars: The Force Awakens,” filem yang mencipta rekod apabila mengutip jualan tiket US$529 juta (RM2.3 bilion) sewaktu pembukaan di serata dunia, pastilah kurang senang dengan dakwaan-dakwaan ustaz berkenaan.

Menulis di bawah coretan penceramah tersebut Selasa lalu, Syed Fadzil antaranya menggesa Rohidzir mengeluarkan kenyataan mengikut fakta.

“Peminat daripada Generasi X lagi ramai dan arif pasal [filem] ini dan alhamdulillah belum dengar ada yang terpesong akidah. (Ustaz) kena buat kajian daripada akar umbi [isu] ini,” katanya.

“Jangan jadi macam kes [pengharaman dan serbuan peminat muzik] black metal dulu. [Kumpulan pop 1980-an] Black Dog Bone pun dia orang kategorikan dalam Black Metal… janji black.”

Sementara itu, Rusdi Muhammad menyindir pemikiran tertutup sesetengah agamawan, sambil menyeru Rohidzir menonton satu slot TV Hijrah yang membahaskan filem ini dengan positif.

“Kasihan, harapkan belajar agama tinggi tetapi pemikiran kolot sangat sampai ke laut. Sebab itulah ramai orang Melayu Islam kita pemikiran terkebelakang sebab wujud pendakwah yang kolot macam kamu,” ujarnya.


Mohd Hayat pula menulis “saya simpati dengan Star Wars tetapi masih cakna dengan Yaman, Syria, Palestin, Ukraine. Apa masalahnya? Tolong jangan jadi agamawan bonsai.”

Rata-rata yang singgah mengulas di coretan-coretan Rohidzir mempertikaikan pandangannya, termasuk mereka yang mengecamnya dengan kata-kata kesat. Ada juga pengguna Facebook meminta peminat Star Wars agar bertenang dan berhujah dengan lebih sopan.

Berikut beberapa lagi reaksi terhadap siri coretan Rohidzir:

Shukri Rahman: Kamu yang memaki ustaz ini mensedekah pahala kamu kepada ustaz. Memang kerja nabi dan ustaz menegur.

Komrad Haizal: Jangan bising-bising. Biar aku jadi umat pertama kepada Nabi George al-Lukasi.

Jamilah Lim: This is a joke, right? [Ini hanya satu guruan, bukan?]

Anna Abdullah Nawri: Elok ustaz pun jangan main Facebook. Facebook ciptaan Yahudi, nanti lari akidah [kerana] mengikut nabi al-Marki al-Zukerbergi pula, terus masuk Yahudi.

Ikhram Mohd: [Pandangan ustaz ini] deep = dalam

Abu Hassan Al-Gerikas: Ustaz berkongsi kerisauan dengan apa yang terjadi di luar negara. Kewujudan agama baru [Jediisme] di luar negara yang dikhuatiri melarat ke Malaysia.

Namun, walaupun dikritik pedas, penceramah agama ini masih mahu menegakkan pendiriannya dengan berkongsi pandangan seorang lagi ustaz tentang ancaman “agama Jediisme”.

Peminat Star Wars dipengaruhi ajaran Jediisme?

Star Wars, kisah pengembaraan di angkasa dengan menekankan nilai kekeluargaan, muncul sejak 1977. Penampilan awal idea Lucas terus mencetuskan fenomena budaya, selain memenangi beberapa anugerah berprestij dan memecah rekod kutipan.

Dengan kejayaan tersebut, tokoh pembikin filem Hollywood itu meneruskan projek triloginya, “The Empire Strikes Back” pada 1980 dan “Return of the Jedi” (1983).

Pada 1999, Lucas memulakan trilogi awal filem itu, “The Phantom Menace”, yang diikuti “Attack of the Clones” (2002) dan “Revenge of the Sith” (2005).

Mulai tahun lepas, walau sudah menjual produksinya kepada Walt Disney pada 2012, beliau merancang trilogi akhir dengan filem pertamanya “Star Wars: The Force Awakens”, yang ditayang pertama kali di Los Angeles, California pada 14 Disember lalu.

Tayangan perdana di negara-negara lain bermula 16 dan 17 Disember, sementara peminat di China akan hanya menikmati filem hebat ini mulai 9 Januari.

No comments:

Powered by Blogger.