Rakyat hidup di bandar semakin terdesak
Terpaksa catu gaji untuk hidup, itulah nasib rakyat di bandar | Perwakilan Umno Wilayah Persekutuan ‘mengadu’ kepada Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak soal rakyat di bandar yang terpaksa catu gaji diterima setiap bulan untuk meneruskan hidup.
Ketua Pemudanya, Mohd Razlan Mohamad Rafii menyentuh soal ‘bebanan’ hidup di bandar itu sambil mengangkat plakad yang menunjukkan senarai perbelanjaan bulanan sebelum mengakhiri perbahasannya lapor Sinar Harian.
“Saya nak tunjukkan dan saya minta kamera rakam ini. Ini merupakan kos sara hidup rakyat yang bergaji RM5,000 sebulan. RM4,000 bersih selepas ditolak KWSP dan lain-lain.
“Inilah sebenarnya anak muda YB Presiden. Kita memang mencatu duit tiap-tiap bulan dalam bandar ini,” katanya ketika membahaskan usul ekonomi pada Perhimpunan Agung Umno (PAU), di sini, hari ini.
Sebelumnya, beliau juga menegur kerajaan berhubung ketirisan, kenaikan kos pengangkutan awam dan tol serta harga rumah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang disifatkannya terlalu mahal.
Menurutnya, meskipun Bajet 2016 itu menyediakan perancangan secara holistik namun tekanan kos sara hidup berpendapatan rendah di bandar masih lagi tidak ditangani dengan cara yang terbaik.
“Warga kota dikejutkan dengan kenaikan kadar tol dalam bandar, bulan lepas. Belum lagi selesai kami menjawab dan meredakan kekhuatiran warga kota, kami dikejutkan sekali lagi dengan kenaikan tambang pengangkutan awam dalam bandar. Ini bagaikan sindrom tidak terkawal secara serius.
“Kami mendapat banyak rungutan dari akar umbi yang merasa terbeban dengan kenaikan kos ini. Kerajaan perlu mencari mekanisme yang tersusun dan terbaik untuk mengurus selia sistem pengangkutan awam kepada kita. Sedarlah, kebergantungan rakyat kepada pengangkutan awam, amatlah tinggi,” katanya.
Katanya lagi, sudah tiba masa kerajaan mengawal selia syarikat-syarikat GLC atau GOC yang menguruskan kemudahan rakyat ini agar setiap sen yang dibelanjakan atas peruntukan sebenar dan memberi manfaat bersama.
“Mereka ini seharusnya mengamalkan pengurusan jimat cermat, jangan bergaji terlampau besar, jangan berbelanja terlampau mewah, pejabat mewah, jangan berkereta mewah.
“Saya minta Presiden lihat semula polisi dan tangga-tangga gaji mereka. Berikan diskaun 50% kepada pengguna pada waktu puncak untuk galakkan penggunaan,” katanya.
Menyentuh soal harga rumah PR1MA, Mohd Razlan menyarankan agar harga rumah itu dikaji semula bagi memastikan ia benar-benar mampu milik.
“Satu formula ‘cross subsidy’ telah dibuat melalui pemilikan rumah di dalam KL, Putrajaya dan Labuan di bawah harga RM200,000.
“Kita bukan buat macam PR1MA harganya RM200,000-RM500,000 kerana kita sedar kebanyakan orang Melayu ini mampunya RM200,000 ke bawah,” katanya.
Beliau turut mencadangkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kerajaan menyediakan ruang untuk pusat jagaan kanak-kanak di KL dan Putrajaya untuk tadika berkonsepkan Islam yang tidak mahal.
No comments: