Header Ads

Penjelasan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan isu dirinya budak suruhan Mahathir

Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan tegaskan dia bukan budak suruhan Tun Mahathir | Bekas pemimpin Umno, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menyifatkan beliau sering dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga ada yang menuduhnya orang suruhan kepada tokoh pemimpin itu.

Menurutnya, beliau telah menegaskan sebelum ini bahawa beliau tidak pernah merancang ataupun berbincang dengan Mahathir untuk menentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Sebenarnya saya sudah kata beberapa kali bahawa nasib saya ini kurang baik. Saya tak tahu kenapa, apabila orang tengok muka saya sahaja, orang akan kaitkan saya dengan Tun Mahathir. Saya bukan budak suruhan Tun Mahathir dan beliau tidak pernah suruh pun saya buat perkara-perkara ini.

“Saya selaku Naib Ketua Umno Batu Kawan, selaku pemimpin Umno akar umbi, apabila saya mengesyaki ada unsur jenayah atau penyelewengan berlaku, atas dasar prinsip saya sendiri, saya ambil tindakan ini,” katanya kepada Sinar Online.

Penjelasan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan isu dirinya budak suruhan Mahathir

Malah beliau turut menafikan dakwaan bahawa beliau mengadakan pertemuan dengan Mahathir sebelum membuat laporan polis berkait itu 1MDB bagi mendapatkan restu.

“Kalaulah saya ini budak suruhan Tun Mahathir… pada tahun 1998, saya adalah orang yang menerbitkan buku ‘50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM’ dan pada tahun itu, persepsi yang sama wujud. Orang kata, kononnya Tun Mahathir upah saya, suruh saya terbitkan buku ini untuk menjatuhkan Anwar (bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim). Ini tidak betul.

“Kalau anda mengikuti ceramah-ceramah saya di seluruh tanah air, apabila saya bercakap tentang isu Anwar khususnya pada tahun 1998, saya selalu kata, orang yang harus dipersalahkan dalam isu Anwar ini adalah Tun Mahathir kerana 1997-1998 beliau cukup sayangkan Anwar. Apa kita cakap tentang Anwar dia tak mahu percaya. Sebab Tun Mahathir tak mahu percaya, atas dasar inilah saya terbitkan buku itu. Bukan disuruh Tun Mahathir,” katanya.

Malah katanya, jika benar dakwaan bahawa beliau orang suruhan Mahathir, selepas Anwar dipenjara, pastinya beliau sudah dilantik sebagai menteri Kabinet.
“Ataupun paling tidak dilantik untuk menduduki syarikat-syarikat milik kerajaan atau GLC. Tetapi seumur hidup saya, saya tidak pernah dianugerahkan sebarang kontrak kerajaan dan tidak pernah menjawat jawatan kerajaan.

“Cuma saya akui bahawa saya penyokong kuat Tun Mahathir. Saya rela mati di atas perjuangan untuk Tun Mahathir kerana saya tahu wadah perjuangan beliau cukup jujur, ikhlas. Dalam hidup beliau yang penting adalah bangsa, agama dan negaranya,” katanya yang menyifatkan Tun Mahathir tidak memerlukan beliau pemimpin kerdil untuk melawan sesiapa sahaja.

Mengulas soal kenyataannya yang menyokong pembebasan Anwar, Khairuddin Abu Hassan akui ramai yang salah sangka terhadap pendiriannya itu.

“Sebenarnya Anwar ini adalah sebahagian daripada ahli keluarga saya. Kita dalam hidup ini perlu ada sifat maaf-memaafkan sesama manusia. Ini penting. Ini dituntut oleh ajaran Islam. Semua orang ada kelemahan dan semua orang melakukan kesalahan. Termasuk diri saya kerana kita bukan maksum.

“Anwar ini telah menjalani satu proses hukuman yang agak panjang pada 1998. Jadi, atas dasar kemanusiaan, pada kali ini saya sokong mana-mana daya usaha untuk membebaskan beliau dari penjara. Cukuplah. Takkanlah pada usia itu, beliau terpaksa menghadapi kehidupan dalam penjara pada waktu ini atas kesalahan yang hampir sama dengan tahun 1998,” katanya.

No comments:

Powered by Blogger.