Nasihat buat adik Hasif yang kehilangan 5 ahli keluarga di Air Terjun Belukar buat kami menangis
Nasihat sayu buat adik Hasif yang kehilangan 5 ahli keluarga yang lemas di Air Terjun Belukar | Baru-baru ni rakyat Malaysia digemparkan dengan tragedi hiba yang menimpa seorang kanak-kanak bernama Hasif apabila kehilangan ibu bapa dan tiga orang kakaknya yang lemas di Air Terjun Belukar Bukit Hulu Terengganu.
Keprihatin salah seorang rakyat Malaysia dengan situasi yang menimpa kanak-kanak tersebut, Ahmad Saifudin Yusof menitipkan nasihat dan doanya buat adik Hasif.
WAHAI ANAKANDA HASIF, PERJUANGANMU BARU BERMULA.
Gambar-gambar dan berita ini cukup membuatkan sesiapa gugur air mata. Seorang anak yang kehilangan seluruh ahli keluarganya. Ya, semuanya. Bayangkan sendiri, di saat semuanya tenggelam di bawa arus yang deras. Anak ini menjerit dan memanggil semua ahli keluarganya. Namun tiada sahutan kedengaran. Tidak kedengaran lagi suara ayahanda yang senyum ceria melihat anak-anak bermandi manda.
Onak Ranjau Kehidupan.
Anakanda Hasif, pakcik cuba memahami apa yang anakanda alami jauh di lubuk hati. Namun pakcik sukar menerka. Allah Maha Mengetahui apakah hikmah di sebalik kejadian ini.
Wahai anakanda Hasif, hidup ini adalah perjuangan. Anakanda akan hidup sendirian walaupun ramai yang menghulurkan kasih sayang.
Ya, kesepian hidup anakanda akan mengajar erti hidup seorang manusia, erti hidup seorang Islam.
Walaupun dunia ini penuh gegak gempita, anakanda akan tetap kesunyian sendiri tanpa suara ibu, tanpa suara ayah, tanpa suara kakak. Tiada lagi gelak tawa usik mengusik.
Pakcik pernah kehilangan ibu di waktu kecil, ayah masih ada ketika itu, kakak abang masih ada ketika itu. Tanpa ibu, lebih separuh hidup kita akan sunyi. Ini realiti dan pakcik telah alami. Pakcik tidak mampu membayangkan andai di saat itu pakcik kehilangan semuanya. Perjuangan hidup anakanda baru bermula. Kuatkan diri dengan solat. Janji dengan abah umi, solat mesti jaga. Jangan lagi liat.
Isi hidup anakanda dengan membaca apa sahaja. Kenapa pakcik kata begitu? Apabila kita asyik membaca, kita akan kurang bercakap. Mengapa mesti kurang bercakap? Bercakap akan mudah disalahfahami. Apabila orang salah faham, orang akan marah kita. Kita rasa sedih dan mungkin akan menangis. Umi tidak ada untuk memujuk kita lagi. Walaupun ada orang lain. Ia tetap tidak sama, tetap tidak sama.
Hasif mesti bertahan. Makan apa sahaja yang dihidang. Apabila kita memilih makanan, orang akan mencebik, mereka mungkin senyum, dalam hati kita tidak tahu. Tahan sahaja, lama-lama baik sahaja.
Fokus hidup Hasif pada sekolah. Ia ibarat rumah kedua. Guru dan rakan ibarat keluarga sendiri. Bantu rakan yang memerlukan. Selalu bantu guru. Hormati mereka selagi mampu. Ringankan tulang membantu cikgu-cikgu Hasif.
Di usia anakanda, tidur sangat penting. Ia dapat memberi kita tenaga, memberi kita upaya untuk berfikir sentiasa. Usah pilih tempat tidur. Tidur sahaja, di mana sahaja. Ada bantal atau lengan sahaja. Jangan lagi susahkan orang.
Apabila tertidur, abah tidak ada lagi untuk mendukung anakanda tidur di bilik. Ikut peraturan, orang kejut kita bangun. Orang minta tidur di situ, di situ juga kita tidur. Awal-awal mungkin leceh, lama-lama tubuh anakanda akan biasa dengan sejuk lantai dan kepanasan bilik.
Jangan tahan menangis. Menangis sahaja, tidak mengapa. Di saat kita menangis teringatkan ibu kita, ketika itu hati dan minda kita akan mula saling berhubung menilai. Kita pilih yang paling baik. Ya, menangislah. Jangan meraung. Jangan ganggu orang lain.
Jangan sesekali berkurung dalam bilik. Hidup mesti diteruskan. Turunlah bermain dengan sepupu dan saudara mara. Biarkan hati terhibur seketika.
Akhir sekali, jangan pandang lama-lama ibu-ibu kawan dan orang lain. Ia akan buatkan Hasif mudah teringat. Paling muka ke arah lain. Jika tidak, hati Hasif akan terganggu. Kuatkan hati anakanda, pakcik hanya mampu mendoakan anakanda bahagia dalam kesepian hati.
Anakanda seorang pejuang dan hidup ini adalah perjuangan. Kesepian hati amat memedihkan, namun daripada kesepian, ia akan melahirkan kenangan yang memberi kekuatan.
27 Tahun, hati yang sepi dari Pakcik Ahmad Saifuddin Yusof
Ahad, 20 Disember 2015, 1.45 pagi.
No comments: