Header Ads

MAS dedah pemilik pesawat yang tersadai di KLIA

Pemilik pesawat yang 'sesat' di KLIA didedah MAS | Sejak kelmarin, misteri tiga pesawat jet penumpang yang tersadai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah menarik minat awam.

Sehingga kini, misteri tersebut masih belum terjawab, walaupun ada beberapa “detektif sambilan” mendakwa ia milik syarikat tempatan Malaysia Airlines (MAS), atau Air Atlanta Icelandic dari Iceland lapor The Malay Mail Online.

(Terbaharu: Pemilik kapal terbang tersadai di KLIA tampil beri penjelasan)

MAS dedah pemilik pesawat yang tersadai di KLIA

“Jika ia milik kami, mesti kami dah tuntut,” kata seorang sumber MAS kepada portal The Star Online malam tadi.

Sementara itu, syarikat penyewaan pesawat Air Atlanta Icelandic mengesahkan bahawa ia pernah memiliki ketiga-tiga pesawat Boeing itu, yang mempunyai kod pendaftaran TF-ARM, TF-ARN dan TF-ARH.

Namun, naib presiden kanan jualan dan pemasarannya, Baldvin M Hermannsson, berkata pesawat tersebut tidak lagi dimiliki syarikat itu.

Kata beliau, dua daripada pesawat itu telah dikeluarkan dari daftar Jabatan Penerbangan Awam Iceland pada Jun 2011, dan Januari 2012 untuk pesawat ketiga.

“Air Atlanta Icelandic tidak mempunyai maklumat siapakah pemilik pesawat tersebut masa kini, dan tiada kaitan dengan pesawat ini sekarang,” kata Hermannsson dalam satu laporan lain di portal sama.

Dalam satu notis di akhbar The Star kelmarin, Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd berkata pihaknya tidak dapat menjejaki pemilik tiga pesawat yang dibiarkan di perkarangan tempat letak pesawat KLIA tanpa sebarang bayaran.

Jika tiada pihak menuntutnya dalam masa 14 hari selepas notis itu, pihaknya terpaksa menjual atau melupuskan pesawat itu.

Menggunakan maklumat yang tertera pada notis itu, beberapa peminat penerbangan mendakwa bahawa Air Atlanta Icelandic merupakan pemilik asal pesawat itu, yang kemudiannya disewakan kepada MAS, sejak seawal 2003.

No comments:

Powered by Blogger.