Kenali Penjaga Tunku Jalil yang Menjaga Almarhum Hingga Akhir Hayat
Inilah Penjaga Tunku Abdul Jalil yang Menjaga Almarhum Bagai Anak Sendiri | KUALA LUMPUR : Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, hari ini mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas kata-kata semangat mereka berikutan kemangkatan Almarhum Tunku Abdul Jalil.
Menerusi laman Faceboknya, Raja Zarith turut memberi penghormatan kepada pasangan, Amy dan Sabrina yang begitu ikhlas dalam menjaga anak kesayangannya, Almarhum Tunku Abdul Jalil, ketika baginda bertarung dengan kanser hati, tahap 4.
Saya mengucapkan terima kasih kepada saudara saudari diatas ucapan takziah kepada saya dan keluarga saya.
Hari ini, walaupun sedikit lewat, saya ingin mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada Amy dan Sabrina, pasangan yang telah menjaga anakanda kami, Almarhum Tunku Abdul Jalil, setelah doktor mendiagnos Almarhum mengidap penyakit kanser pada bulan Ogos 2014 sehinggalah hari Almarhum mangkat.
Keluarga kami sesungguhnya amat terhutang budi kepada Amy dan Sabrina.
Setelah Almarhum menjalani pembedahan dan disahkan mempunyai kanser hati, mereka berpindah dan tinggal bersama kami, mengorbankan masa mereka bersama anak-anak mereka di rumah mereka sendiri, supaya mereka boleh membantu menjaga Almarhum.
Mereka jugalah yang memastikan Almarhum mengambil semua ubat-ubatannya.
Mereka jugalah yang tidur pada masa-masa yang tidak menentu kerana Almarhum akan santap pada lewat malam atau kadang-kadang, sebelum subuh.
Mereka jugalah yang akan bersama Almarhum di semua hospital apabila Almarhum dimasukkan ke wad untuk menerima rawatan. Mereka jugalah yang berjalan bersamanya ke mana sahaja Almarhum berangkat.
Mereka jugalah yang tahu pakaian mana yang Almarhum mahu gunakan, kasut yang mana, topi atau 'beanie' yang mana.
Mereka jugalah yang mengemaskan biliknya Mereka tahu dimana barang barang berada.
Walaupun saya kerap menyuruh mereka untuk mengambil cuti dan meluangkan masa bersama anak-anak mereka, mereka akan menolak dan mengatakan kepada saya bahawa anak-anak mereka dijaga dengan baik oleh kakak Sabrina. Mereka hanya sekali sekala akan keluar makan bersama anak-anak mereka apabila ada orang lain yang menemani Almarhum.
Ya, memang saya amat merasai keperitan kehilangan anak lelaki saya, namun, mereka juga merasai yang sama. Mereka juga menangis sepertimana keluarga kami menangis.
Maka, hari ini, saya mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana telah menjaga anak lelaki saya, menyanyangi nya, bersamanya siang dan malam, menegur nya bilamana mereka merasakan Almarhum telah melakukan kesilapan, mendengar pabila dia menceritakan sesuatu.
Saya sekeluarga tidak akan dapat membalas segala jasa dan budi mereka berdua kerana sanggup kekal menemani Almarhum hingga akhir hayatnya.
Kami hanya dapat berdoa dan memohon agar Allah merahmati mereka berdua dengan kebahagiaan, kesihatan, dan kehidupan yang indah bersama keluarga mereka sendiri pada masa depan.
Terima kasih, Amy & Sabrina. - Raja Zarith Sofiah
No comments: