Bola Sepak: Sejarah Kad Kuning dan Kad Merah
Ketahui Sejarah Kad Kuning dan Kad Merah Dalam Bola Sepak | Kad kuning dan kad merah merupakan salah satu elemen penting dalam bola sepak moden.
Kad kecil yang dahulunya hanyalah sekeping potongan kertas tersemat yang rapi didalam poket semua pengadil perlawanan itu digunakan untuk menjatuhkan hukuman keatas pemain yang melakukan kekasaran.
Namun, tahukah anda sejarah disebalik penggunaan kad merah dan kad kuning ini?
Kisahnya bermula apabila seorang pengadil perlawanan yang berasal dari Ilford (London), Ken Aston ditugaskan untuk mengadili perlawanan diantara pasukan Chile dan Itali pada kejohanan Piala Dunia 1962.
Perlawanan itu telah menjadi ‘panas’ dan dikenali sebagai ‘Pertempuran Santiago’ (Battle of Santiago).
Semuanya bermula selepas wartawan Itali secara lantang telah mengutuk tuan rumah kejohanan, Chile.
Battle Of Santiago
Menurut wartawan Itali, Antonio Ghirellu dan Corrado Pizzinelli :
“Santiago (bandar tuan rumah Chile) adalah tempat air kumbahan.”
“Talian telefon tidak berfungsi, teksi sukar didapati – sesukar mencari suami yang setia – caj talian kabel yang semahal harga tangan dan kaki serta sistem surat-menyurat yang memerlukan 5 hari untuk sampai.”
“Penduduk Chile kekurangan zat makanan, jahil, kaki botol dan miskin.”
“Chile merupakan sebuah negara kerdil, bongkak dan miskin: mereka bersetuju untuk menganjurkan Piala Dunia sebagaimana Mussolini bersetuju untuk menghantar pasukan tentera udara kita untuk mengebom London.”
“Hotel di bandar utamanya hanya mempunyai 700 katil. Kawasan kejiranannya terbuka untuk aktiviti pelacuran. Negara ini serta rakyatnya sangat sengsara dan semakin mundur”.
Media Chile pada ketika itu pula membalas kutukan wartawan Itali itu dengan melabel negara Itali sebagai fasis, mafiosos, terlalu gila seks dan negara penagih dadah.
Kedua orang wartawan Itali itu akhirnya dipaksa meninggalkan Chile.
Malah terdapat kes dimana seorang rakyat Argentina dibelasah di bar oleh rakyat Chile kerana disangkakan seorang rakyat Itali.
Provokasi-provokasi inilah yang menyebabkan perlawanan diantara Chile dan Itali menjadi ‘panas’.
Ia bukan sekadar perlawanan bola sepak, ia turut melibatkan maruah kedua-dua buah negara.
Jesteru, kerana kerana perlawanan tersebut berlangsung di bandar Santiago, ia dinamakan “Battle of Santiago“, persis peristiwa perang diantara rakyat Chile menentang penjajah Sepanyol tahun 1541.
Insiden Pertama
Ketika mengadili perlawanan Battle of Santiago, pengadil perlawanan tersebut, Ken Aston perlu berhati-hati dalam setiap tindakannya.
Namun ketika perlawanan baru berusia 12 saat, Ken Aston sudah terpaksa meniup wisel kerana ada kesalahan (foul).
Pada minit ke-12, Ken Aston terpaksa mengarahkan kapten pasukan Itali, Giorgio Ferrini untuk keluar padang kerana melakukan kekasaran terhadap pemain Chile, Honorino Landa.
Giorgio Ferrini bagaimanapun enggan keluar dari padang kerana mendakwa dia tidak memahami arahan yang diberikan oleh Ken Aston.
Dia kemudiannya diangkut keluar padang dengan bantuan pihak polis. Landa yang cuba bertumbuk dengan Ferrini, hanya diberikan amaran lisan.
Perlawanan itu berakhir dengan pasukan Chile menang 2-0 ke atas pasukan Itali yang terpaksa bermain dengan 9 orang.
Ia merupakan detik yang memberikan pengajaran bermakna untuk Aston.
Namun peristiwa hampir sama berulang kembali empat tahun kemudian sewaktu kejohanan Piala Dunia di England.
Insiden Kedua
Ketika perlawanan tuan rumah, England menentang Argentina dalam Piala Dunia 1966, kapten pasukan Argentina, Antonio Rattin, enggan keluar padang setelah diarahkan.
Pengadil perlawanan pada waktu itu, Rudolf Kretlein terpaksa menggunakan segala diplomasi demi memujuk Ratin keluar dari padang untuk mengelak perlawanan ditangguh.
Ratin akhirnya bersetuju keluar dari padang setelah dipujuk oleh pengawai-pegawai FIFA (termasuk Ken Aston sendiri) yang terpaksa campur tangan dengan turun ke padang dari tempat duduk penonton.
Perlawanan tersebut berakhir dengan protes dari jurulatih pasukan England, Sir Alf Ramsey yang mahukan penjelasan dari pengadil.
Menurut Ramsey, isyarat pengadil tidak cukup jelas bagi dirinya, pemain-pemain England serta penonton.
Adakah isyarat yang ditunjukkan oleh pengadil kepada Ratin dalam perlawanan tersebut hanyalah amaran, ataupun ia arahan untuk keluar padang?
Itulah senario yang berlaku sebelum penciptaan kad kuning dan merah. Bola sepak menjadi sangat mengelirukan.
Inspirasi Dari Lampu Isyarat
Ken Aston menyedari bahawa betapa perlunya satu sistem baru dicipta untuk menghukum pemain bola sepak dipadang.
Ini kerana sukar bagi pengadil untuk memberikan amaran atau arahan dalam bentuk lisan kepada pemain yang berlainan bahasa.
Sewaktu memandu melalui Kensington Avenue tatkala dia dalam perjalanan pulang ke rumah, Ken Aston terpandang lampu isyarat.
“Sewaktu saya memandu, lampu isyarat bertukar ke warna merah. Dan saya terfikir: kuning maksudnya bertenang. Merah maksudnya berhenti.”
“Dua kad dengan dua warna berlainan akan menjadi isyarat yang jelas dari pengadil kepada pemain. Walaupun mereka tidak bertutur dalam bahasa yang sama.”
Ken Aston yang merupakan salah seorang anggota Referee Committee pada ketika itu kemudian membentangkan ideanya kepada FIFA.
Dan buat kali pertama dalam sejarah, penggunaan kad kuning dan kad merah diterima dan diterapkan di kejohanan Piala Dunia 1970 di Mexico.
Sistem ini dilihat berkesan dan terus diguna pakai sehingga ke hari ini.
Ken Aston mungkin sudah meninggal dunia pada tahun 2001 pada umur 86 tahun.
Tetapi idea dan legasi kad kuning dan merah Ken Aston ini masih diguna pakai untuk menghukum pesalah dalam dunia sukan. Baik dalam sukan bola sepak, ragbi, hoki, bola tampar dan polo air.
No comments: