Tony Pua Suruh Najib Letak Jawatan Dahulu
“Jika ada yang perlu letak jawatan kerana isu 1MDB, Najiblah orangnya..” – Tony Pua | “Jika ada yang perlu meletak jawatan disebabkan konflik kepentingan berkaitan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB), perdana menteri merupakan orangnya kerana beliau terlibat secara langsung dalam skandal itu,” demikian dakwa Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.
Kenyataan tersebut dibuat selepas Ketua Eksekutif dan juga Presiden 1MDB, Arul Kanda menyahut cabarannya untuk berdebat secara terbuka dengan syarat Tony harus melepaskan jawatannya dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terlebih dahulu.
Memetik laporan sebuah portal tempatan hari ini, Tony mendakwa Najib sepatutnya perlu meletak jawatan kerana pemimpin negara itu menandatangani semua transaksi utama yang dijalankan oleh badan pelaburan kerajaan itu.
“Dalam keadaan itu, pasti ada konflik kepentingan yang besar apabila Najib mempunyai pengaruh secara langsung ke atas proses siasatannya,” katanya lagi.
Semalam, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz mengatakan bahawa debat mengenai skandal kewangan 1MDB hanya boleh dilakukan sekiranya Tony meletakkan jawatan sebagai ahli PAC.
Baca artikel sebelum: “Kalau Tony Pua nak debat, sila letak jawatan dari PAC” – Nazri Aziz
Mengulas perkara itu, Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan menegaskan debat antara Tony dan Arul Kanda tidak boleh dilakukan susulan proses siasatan PAC terhadap 1MDB masih berjalan.
Membalas kenyataan Nazri, Tony menegaskan bahawa tidak ada undang-undang atau peraturan yang menghalang beliau sebagai seorang ahli Parlimen dari mencari jawapan sama ada melalui PAC atau di luar jawatankuasa itu.
Ahli Parlimen DAP itu juga turut mempersoalkan bagaimana konflik timbul sedangkan beliau tidak mempunyai kaitan dengan 1MDB yang kini disiasat.
“Sebaliknya, jika hujah Nazri ialah, seseorang itu mesti ‘meletak jawatan’ bagi mengelak konflik kepentingan, pastinya orang itu ialah Najib sendiri. Perdana menteri yang juga menteri kewangan, secara langsung terlibat dalam skandal 1MDB.
“Khususnya, beliau secara peribadi meluluskan dengan secara bertulis semua transaksi utama yang dijalankan 1MDB. Dalam keadaan itu, pasti ada konflik kepentingan yang besar apabila Najib masih mempunyai pengaruh langsung ke atas proses penyiasatan,”.
No comments: