‘Tenang is Good’ positif ganja
Ujian makmal sahkan perisa vape ‘Tenang is Good’ mengandungi ganja | Sejenis cecair ‘vape’ atau e-rokok yang dinamakan ‘Tenang is Good‘ didapati mengandungi ganja dan pernah dijual secara terbuka di festival Vapegasm 1.0 di Kota Damansara bulan lalu, lapor akhbar hari ini.
Menurut Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (Eseri) Universiti Sultan Zainal Abidin Terengganu, perisa tersebut mengandungi cannabidiol, salah satu bahan aktif dalam ganja semula jadi, dan dronabinol, satu bahan sintetik dalam perubatan berasaskan ganja.
Perisa itu dikatakan dijual pada harga sekitar RM40 sebotol bersaiz 10 milimeter dan popular sejak awal tahun di Lembah Klang serta utara Perlis dan Kedah, lapor akhbar Kosmo!.
Pengarah Eseri Prof Madya Dr Hafizan Juahir percaya perisa ganja itu diperolehi dari luar negara atau pasaran gelap.
“Ganja sintetik dronabinol pula kebiasaannnya digunakan sebagai ubat dalam rawatan kemoterapi untuk mencegah pesakit daripada muntah.
“Tapi saya tak pasti sama ada ia digunakan di Malaysia atau tidak,” katanya dipetik akhbar itu.
Kosmo! mendakwa cecair itu dijual di Shah Alam secara terhad kepada pelanggan tetap, kenalan, serta komuniti “vape” bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Tenang is good”, bermaksud “tenang itu bagus”, merupakan frasa slanga yang digunakan golongan muda, terutamanya pengguna e-rokok.
ProjekMMO bagaimanapun tidak dapat mengesahkan secara sendiri kewujudan cecair tersebut.
(Baca: KDN serius akan buat pantauan isu perisa vape ada dadah)
(Baca: KDN serius akan buat pantauan isu perisa vape ada dadah)
No comments: