Header Ads

Apa yang perlu anda buat dan jangan buat sekiranya anda dirogol atau diliwat

Sekiranya anda menjadi mangsa rogol atau liwat, ini perkara yang anda perlu lakukan dan jangan lakukan | Sejak kebelakangan ini kita, kita sering dengar pelbagai kisah yang menimpa kaum wanita, pelbagai berita bermain di dada akhbar dan media mengenai jenayah melibatkan wanita sebagai mangsa.

Kes rogol adalah jenayah yang paling kerap berlaku, apabila kejadian seumpama ini berlaku, ada mangsa yang tidak tahu apa perlu dilakukan dan ada yang terpaksa dirahsiakan kerana malu.

Bukan meminta perkara seperti ini terjadi, jika terjadi, apa yang perlu dilakukan? rogol dan liwat bukan sahaja menimpa kaum wanita, tetapi juga ada berlaku kepada lelaki terutamanya kanak-kanak.

Seorang doktor bernama Dr. Abdul Rahman Abdul Kadir merupakan seorang Pakar Perubatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Melaka telah berkongsikan satu artikel mengenai perkara ini, apa tindakan jika seseorang itu menjadi mangsa rogol atau liwat?

Jom kira baca apa yang ditulis oleh beliau.

Apa yang perlu anda buat dan jangan buat sekiranya anda dirogol atau diliwat
Perkara yang perlu buat dan jangan buat sekiranya menjadi mangsa rogol atau liwat

Rogol dan liwat merupakan jenayah seksual yang boleh menimpa sesiapa sahaja. Dewasa ini, kebanyakan jenayah rogol dan liwat adalah melibatkan orang-orang yang anda dikenali sebagai penyerangnya. Mereka boleh jadi orang yang rapat dengan anda seperti teman lelaki, rakan, jiran, majikan, bapa, abang dan sebagainya.

Serangan yang melibatkan orang yang dikenali ini menyebabkan ramai mangsa keberatan untuk melaporkan kejadian kepada pihak berwajib lalu mengakibatkan penjenayah terlepas begitu sahaja.

Anda tidak sepatutnya berdiam diri seandainya anda dirogol atau diliwat! Ianya merupakan satu perbuatan jenayah dan adalah hak serta tanggungjawab anda untuk melaporkan segera kepada pihak berwajib agar pelakunya ditangkap dan dikenakan hukuman yang setimpal.

Di Malaysia, hubungan seksual yang melibatkan gadis di bawah umur (bawah 16 tahun) walaupun dengan kerelaannya, tetap dikategorikan sebagai jenayah rogol (statutory rape).

Jadi, apakah yang harus anda lakukan seandainya anda atau orang yang anda kenali dirogol atau diliwat? (Naudzubillah)

Pertama sekali, selamatkan diri anda dengan segera daripada penyerang dan pergi ke tempat yang selamat. Ini penting untuk menyelamatkan nyawa anda dari apa-apakan atau dicederakan oleh penyerang anda. Terdapat banyak kes di mana setelah dirogol, mangsa dibunuh bagi tujuan ‘menghapuskan’ bukti!

Segera hubungi orang yang anda percayai untuk mendapatkan bantuan atau jika anda rasa keselamatan anda masih terancam, hubungi polis melalui talian kecemasan 999. Polis akan segera datang untuk menyelamatkan anda. Pihak polis juga akan membawa anda ke hospital bagi tujuan pemeriksaan.

Sekiranya anda memilih untuk menghubungi orang yang anda percayai (rakan, ibu bapa, saudara mara terdekat dan sebagainya), segeralah ke JABATAN KECEMASAN HOSPITAL KERAJAAN yang terdekat. Elakkan daripada pergi ke hospital swasta kerana hospital swasta selalunya tidak menyediakan perkhidmatan forensik. Jika anda pergi pun, hospital swasta akan merujuk kes anda ke hospital kerajaan yang berhampiran. Jadi anda tidak perlu membuang masa dan pergi sahaja ke mana-mana hospital kerajaan.

Jika anda perlu/terpaksa menyalin pakaian, sila simpan pakaian yang anda pakai (termasuk pakaian dalam) ketika diserang, di dalam beg/plastik dan bawa bersama ke hospital. Jangan basuh atau bersihkan pakaian tersebut. Ini penting untuk tujuan pengumpulan spesimen dan bahan bukti kerana ada kemungkinan air mani dan DNA penyerang masih tersisa pada pakaian anda dan boleh dijadikan sebagai bahan bukti.

JANGAN MANDI, MAKAN, MINUM, MENCUCI TANGAN, BERKUMUR-KUMUR, MENGGOSOK GIGI, CEBOK, CUCI KEMALUAN/DUBUR atau  MENGESAT/MEMBERSIHKAN TEMPAT-TEMPAT YANG DISERANG, DIJILAT, DICIUM, DIGIGIT ATAU DISENTUH oleh perogol atau peliwat itu.

Ini penting bagi tujuan pengumpulan bahan bukti forensik. Benar, mangsa rogol dan liwat selalunya akan merasa jijik kerana telah diperlakukan sebegitu rupa dan akan segera mandi kerana merasa geli pada diri sendiri. Namun, ianya boleh menghapuskan bahan bukti penting yang mungkin dapat dikumpulkan.

Apabila tiba di Jabatan Kecemasan, anda hanya perlu memberitahu kepada kakitangan Jabatan Kecemasan bahawa anda telah dirogol. Dengan serta-merta anda akan dilindungi dan dibawa masuk ke bilik khas terlindung bagi tujuan pemeriksaan oleh doktor. Sistem ini dipanggil One Stop Crisis Centre (OSCC) yang terdapat di semua hospital kerajaan di seluruh negara.

Di bilik OSCC ini, anda akan diperiksa dan dirawat oleh doktor kecemasan. Anda juga boleh membuat laporan polis di bilik ini kepada pegawai penyiasat. Pengumpulan spesimen dan bahan bukti forensik (external) akan dilakukan oleh doktor kecemasan.

Doktor-doktor dari bidang sakit puan (O&G) dan pembedahan am (Surgery) juga akan turut terlibat sama bagi pemeriksaan khusus bahagian kemaluan dan dubur (internal) sekaligus mendokumentasikan kecederaan serta mengumpul sampel secara rapi. Seandainya mangsa adalah kanak-kanak, doktor kanak-kanak juga akan terlibat sama. Kesemua ini akan dilakukan di bilik OSCC untuk memudahkan mangsa.

Setelah semua urusan ini selesai, mangsa bolehlah mandi dan membersihkan diri sepuas-puasnya di bilik mandi yang disediakan di dalam bilik OSCC.

Mangsa juga akan dirujuk kepada pakar psikologi dan Jabatan Kebajikan Masyarakat seandainya perlindungan sementara diperlukan.

Doktor juga mungkin akan memberikan ubat pencegah kehamilan dan akan memberi rawatan susulan kepada anda sekiranya anda risau tentang penyakit jangkitan seksual (sexually transmitted disease), bergantung kepada keadaan.

Identiti anda dijamin akan dilindungi dan segala laporan anda kepada doktor serta pihak polis adalah dijamin kerahsiaannya.

Lebih cepat anda datang ke hospital bagi tujuan pemeriksaan, lebih tinggi kebarangkalian bahan bukti dapat diambil kerana bahan bukti (evidence) masih segar. Jika anda melengahkan masa untuk melaporkan tentang kejadian rogol/liwat, maka peluang untuk mendapatkan bahan bukti adalah lebih tipis.

Jika anda hadir selepas 1 minggu kejadian terjadi, ada kemungkinan sampel DNA atau air mani (semen) telah hampir tiada.

Namun, sekiranya kesan kecederaan masih ada, ianya tetap boleh dijadikan sebagai bukti yang kukuh bahawa anda telah dirogol/diliwat. INGAT! Anda tidak perlu takut untuk mendapkan bantuan serta perlindungan sekiranya perkara ini terjadi.

No comments:

Powered by Blogger.