Penyokong Muhyiddin Yassin berkumpul di bangunan Umno
Kumpulan pro-Muhyiddin Yassin berkumpul di bangunan Umno | Lebih 100 anggota Umno kini sudah memenuhi perkarangan Menara Datuk Onn sebagai tanda sokongan kepada Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yasin.
Muhyiddin tiba sekitar jam 2.40 petang dengan disambut sorakan dari penyokong beliau yang datang dari Johor.
Malaysiakini difahamkan sebanyak 10 buah bas membawa penyokong anggota Parlimen Pagoh itu hari ini.
Muhyiddin juga turut meluangkan beberapa minit dengan penyokongnya sebelum beredar ke tempat mesyuarat.
Dalam pada itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir tiba 10 minit selepas Muhyiddin.
Umno hari ini mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) kali pertama selepas Muhyiddin digugurkan sebagai timbalan perdana menteri.
Mesyuarat dijangka berlangsung pada jam 3 petang.
Perhimpunan hari ini dipercayai dicetuskan oleh kebimbangan terhadap khabar angin timbalan presiden itu antara yang akan dipecat hari ini.
Beberapa pemimpin Umno sebelum ini telah menolak tanggapan itu.
Sementara itu, rata-rata penyokong Muhyiddin yang ditemui Malaysiakini mahu presiden Umno itu dikekalkan kerana beliau mempunyai rekod bersih sepanjang perkhidmatanya.
Menurut ahli Umno Muar, Saiful Harun 38 beliau hadir bagi memberi sokongan padu kepada Muhyiddin kerana beliau adalah pemimpin yang sejati serta tidak dipalit sebarang kontroversi.
“Beliau adalah pemimpin yang bersih, tak ada isu yang terpalit pada beliau.Kami datang ini sebab kami sayang pemimpin kami, sebab dia anak jati Johor,”katanya ketika ditemui Malaysiakini.
Menurut Saiful lagi, ke mana pun pemimpin berjiwa rakyat itu pergi, penyokong setia beliau ini akan terus bersamanya.
“Kami akan sokong apa saja yang beliau buat kerana kami yakin, Muhyiddin bukan seperti yang didakwa pihak luar.
“Beliau hanya akan perjuangkan Umno, sebab itu beliau sanggup terima pelucutan jawatan tanpa sebarang provokasi,” katanya.
Manakala seorang lagi penyokong MP Pagoh itu, Ramdzan Saad, 57, dari Kulai pula berkata kehadirannya bersama 50 lagi ahli akar umbi parti itu sebagai tanda protes terhadap apa yang menimpa Muhyiddin Yasin.
“Hari ini mesyuarat Majlis Tertinggi Umno sahaja tapi kenapa ramai penyokong datang? Ini sebab tanda protes,” katanya kepada Malaysiakini.
Bagaimanapun Datuk Mohamad Yasin Mohamad berkata beliau menyokong semua pemimpin parti itu namun tetap mengharapkan yang terbaik daripada tampuk kepimpinan Umno sendiri.
“Kita menyokong semua pemimpin kita dan kita terima apa saja keputuaan mereka tapi biarlah ianya dibuat demi kebaikan parti amnya dan Melayu khususnya,” katanya lagi.
No comments: