Header Ads

Indonesia Mohon Maaf Jerebu Merebak Ke Malaysia dan Singapura

Jerebu Merebak Ke Malaysia Dan Singapura, Ahli Parlimen Indonesia Minta Maaf | KUALA LUMPUR – Seorang ahli Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia memohon maaf kepada Malaysia dan Singapura berikutan masalah jerebu yang melanda kedua-dua negara berkenaan.

Ahli parti Nasional Demokrat, Hamdhani Mukhdar Said dari daerah pemilihan Kalimantan Tengah berkata, kerajaan Indonesia sedang melakukan tindakan pencegahan bagi menangani kebakaran yang berlaku di beberapa daerah di Sumatera dan Kalimantan.

“Kami minta maaf dari pemerintah Malaysia dan Singapura dalam hal ini (jerebu). Ia tidak disengajakan… Pemerintah Indonesia telah melakukan maksimal untuk menangani ini, malah presiden kami (Joko Widodo) juga sudah turun ke lokasi,” katanya kepada pemberita di Perhimpunan Agung kali ke-36 Perhimpunan Antara Parlimen Asean (Aipa) di sini, hari ini.

Indonesia Mohon Maaf Jerebu Merebak Ke Malaysia dan Singapura

Beliau berkata, Indonesia sedang mengalami musim kemarau yang menyebabkan berlakunya kebakaran hutan.

“Ada juga masyarakat yang membuka ladang, kalau membakar kita akan hukum.

“Tetapi ada juga akibat dari keadaan yang terlalu panas, jadi hutan-hutan yang kering terbakar sendiri, perusahaan kelapa sawit milik Malaysia juga terbakar,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, keadaan hujan termasuk yang berlaku di Kuala Lumpur ketika ini diharap dapat membantu mengurangkan jerebu.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar, tujuh kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat melebihi 100 setakat pukul 8 pagi tadi.

Tiga kawasan di Negeri Sembilan merekodkan bacaan IPU tidak sihat – Nilai (135), Port Dickson (117) dan Seremban (114).

Turut merekodkan bacaan IPU tidak sihat ialah Bandaraya Melaka (111), Batu Muda (Kuala Lumpur) (108) dan Banting (106). – Bernama

No comments:

Powered by Blogger.