Identiti 6 jemaah Malaysia yang hilang Insiden Kren tumbang di Masjidilharam
Insiden Kren tumbang di Masjidilharam, 6 jemaah Malaysia yang hilang dikenalpasti | Identiti enam orang jemaah haji Malaysia yang sebelum ini tidak dapat dikesan berikutan tragedi kemalangan runtuhan kren di Masjidilharam di Mekah pada petang Jumaat, telah dikenal pasti.
Tabung Haji dalam satu kenyataan hari ini berkata pihak mereka telah pun memaklumkan perkara ini kepada waris-waris di tanah air.
Dalam kenyataan yang sama, Tabung Haji turut menyatakan sebarang perkembangan mengenai keenam-enam jemaah haji ini akan dimaklumkan terus kepada waris mereka memetik Astro Awani.
Berikut adalah senarai nama 6 jemaah haji yang tidak dapat dikesan sejak tragedi kemalangan kren jatuh di Masjidilharam, Mekah pada petang semalam:
1) Abdul Habib Lahman (68 tahun), Sik, Kedah
2) Shahidan Saad (52 tahun), Kodiang, Kedah
3) Zainun Taha (69 tahun), Ampang, Selangor
4) Rohana Ismail (54 tahun), Kuala Krai, Kelantan
5) Munah Jusoh ( 73 tahun), Cherang Ruku, Kelantan
6) Siti Nurolshlizan Zolkifli (37 tahun), Tanah Merah, Kelantan
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam satu sidang media khas Tabung Haji pagi tadi berkata dua jemaah lelaki dan empat jemaah wanita Malaysia tidak dapat dikesan sejak jam 4 pagi (waktu tempatan).
Jelasnya, pihak Tabung Haji (TH) sedang bekerjasama dengan pihak Muasassah Asia Tenggara bagi mencari jemaah haji tersebut dan operasi ini diteruskan sehingga jemaah tersebut ditemui.
Ketika sidang media berlangsung jumlah kematian dicatatkan meningkat kepada 107 dan 238 dilaporkan cedera.
Kerajaan juga akan memberikan bantuan secepat mungkin kepada jemaah Malaysia yang mengalami kecederaan dalam kejadian kren tumbang di kawasan Masjidilharam, Makkah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tragedi tidak diingini ini berlaku berikutan ribut pasir dan hujan lebat melanda negara timur tengah itu pada jam kira-kira 5 petang waktu tempatan.
Kren tersebut tumbang berhampiran pintu As Salam dan menimpa bangunan di mana bangunan sa’ie terletak.
Sebahagian daripada rangka kren tersebut juga jatuh di bangunan Sa’ie berdekatan mataf.
Untuk mengetahui perkembangan terkini jemaah haji, waris-waris boleh menghubungi Tabung Haji di talian 03-62071919.
No comments: