Senarai 5 plaza tol akan bertukar kepada pembayaran elektronik sepenuhnya
Pembayaran elektronik sepenuhnya di 5 tol plaza bermula 9 September | Lima tol terbabit ialah Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, Jitra, Bukit Kayu Hitam, Lunas dan Kubang Semang.
Pembayaran tol di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, Jitra, Bukit Kayu Hitam (Lebuhraya Utara Selatan), Lunas dan Kubang Semang (Lebuhraya Butterworth-Kulim) akan dilakukan secara elektronik menggunakan kad Touch ‘n Go dan PLUSmiles serta SmartTAG bermula 9 Sept ini.
Ketua Pegawai Operasi PLUS Mohammad Fuad Khusairi berkata pengguna yang membayar secara tunai di lima plaza tol itu perlu berhijrah kepada sistem kutipan tol elektronik secepat mungkin memetik Astro Awani.
“Untuk memudahkan pembelian dan pengisian semula kad PLUSMiles dan Touch ‘n Go, pengguna lebuh raya boleh membeli kad PLUSMiles dan Touch ‘n Go dengan nilai sedia ada sebanyak RM5 (kad adalah percuma) di plaza tol berkenaan mulai sekarang hingga 31 Disember 2015, kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Pengguna lebuh raya boleh juga membeli peranti SmartTAG pada harga promosi RM96 (termasuk cukai barang dan perkhidmatan enam peratus)di kesemua lima plaza tol itu sehingga 30 Sept ini (selagi stok masih ada).
Mohammad Fuad berkata pengguna Kelas 1 yang membayar secara elektronik di plaza tol Jitra, Bukit Kayu Hitam, Lunas dan Kubang Semang juga akan menikmati 20 peratus rebet tol mulai 1 Sept hingga 31 Dis tahun ini.
Pengguna Jambatan Pulau Pinang yang menikmati diskaun 20 peratus sekarang ini tidak layak mendapat rebet tol 20 peratus itu.
Inisiatif pembayaran tol elektronik sepenuhnya itu berjaya dilaksanakan di Bangunan Sultan Iskandar (2008), Lebuhraya Linkedua (berperingkat sejak 2009), Plaza Tol Kempas (2014), Batu Tiga dan Sungai Rasau (Nov 2014) serta Mambau dan Lukut di Lebuhraya Seremban-Port Dickson, Jun lepas.
No comments: