Header Ads

PKR Minta Najib Berhenti Ganggu Siasatan 1MDB

“Najib! Tolong berhenti ganggu siasatan 1MDB” – PKR | PKR mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menghentikan segera siasatan ke atas penyiasat kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan memberi tumpuan kepada pengurusan ekonomi negara.

Pengerusi Biro Pelaburan dan Perdagangannya, Wong Chen menegaskan jika Najib terus mengganggu mereka menyiasat 1MDB, ia hanya akan menjejaskan nilai Ringgit Malaysia (RM) yang terus jatuh sehingga RM3.89 berbanding Dolar Amerika Syarikat (ASD) pada hari ini memetik Sinar Harian.

PKR Minta Najib Berhenti Ganggu Siasatan 1MDB
Wong Chen pada sidang media mengenai nilai mata wang ringgit di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya, hari ini. -Foto Sinar Online oleh NIZAM ZAIN.

‘Kami menggesa beliau untuk berhenti mengabaikan ekonomi dan mensengsarakan rakyat demi mempertahankan kedudukan politik beliau sendiri,’ katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Sehingga kini, tujuh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah sama ada ditangkap atau dipanggil oleh pihak polis dan mereka semua terlibat dalam penyiasatan terhadap SRC International Sdn Bhd dan pemindahan dana RM2.6 bilion ke dalam akaun bank Najib.

Pada Mac 2015, ahli ekonomi Macquarie Research, PK Basu meramalkan nilai mata wang ringgit akan jatuh kepada tahap RM3.95 berbanding AS$1 pada September 2015.

Dalam pada itu, beliau juga berkata, sekiranya pihak polis bertindak menangkap Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz tidak mengikut prosedur perundangan, ia dikhuatiri akan menjejaskan lagi mata wang ringgit yang sedia lemah.

‘Tan Sri Zeti mempunyai reputasi yang baik sebagai seorang Gabenor Bank Pusat dalam kalangan komuniti kewangan antarabangsa termasuk agensi penarafan.

‘Sekiranya tiada ketelusan penuh, prosedur dan proses perundangan tidak diikuti, ia akan memberi mesej yang tersangat buruk kepada komuniti kewangan antarabangsa dan terus menjejaskan nilai mata wang ringgit,’ katanya lagi.

No comments:

Powered by Blogger.