Header Ads

Penyakit Endometriosis: ‘ Ramai Wanita Berjaya Buktikan Doktor Silap’

Wanita dan Penyakit Endometriosis | Setiap tahun terdapat ramai wanita yang menderita penyakit endometriosis, namun malangnya, rakyat Malaysia secara umumnya tidak mengetahui mengenai penyakit itu sendiri dan punca keadaan berkenaan.

Secara ringkasnya, endometriosis berlaku apabila sel endometrium dari rahim berkembang di kawasan lain dalam tubuh wanita. Ia boleh menyebabkan kesakitan, pendarahan yang tidak teratur dan kemandulan memetik Harian Metro.

Wanita dan Penyakit Endometriosis

Namun, lebih membimbangkan ialah kelewatan dalam menangani penyakit ini disebabkan kurangnya kesedaran dan pantang larang sosial dalam memperkatakan mengenai penyakit ini dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ini kerana endometriosis bukan saja memberi impak terhadap keadaan fizikal dan sosial, malah kesan terhadap mental wanita terutama ketika kehidupan mereka berada pada tahap produktif.

Berkongsi pengalaman berdepan penyakit endometriosis tahap empat selama 20 tahun, Presiden Persatuan Endometriosis Selangor dan Kuala Lumpur (MyEndosis) Surita Mogan berkata, sepanjang tempoh itu, kesakitan teruk ketika haid, loya, pengsan dan ketidakselesaan membuang air besar menjadi teman setianya.

Wanita berusia 40 tahun itu menjelaskan, pada mulanya dia agak keliru dengan kesakitan yang dialaminya kerana ia dianggap biasa oleh orang di sekelilingnya malah ramai yang menyangka dia hanya membesar-besarkan kesakitan yang dialami.

“Dari 1995 hingga 2001, saya mengalami kesakitan sebelum, semasa dan selepas datang haid dan hanya diberi ubat penahan sakit oleh pengamal perubatan setiap kali saya ke klinik.

“Sehinggalah pada 2001, saya dinasihatkan oleh ibu saudara saya untuk bertemu pakar dan saya akhirnya disahkan menghidap endometriosis, adenemyosis (endometriosis rahim) dan endometriosis usus.

“Saya lega kerana akhirnya mengetahui punca sebenar kesakitan yang dialami selama bertahun-tahun. Bagaimanapun, saya turut diberitahu kemungkinan untuk saya hamil secara semula jadi amat tipis,” katanya ketika ditemui pada pameran seni ‘The Journey’ di Galeri Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Petaling Jaya baru-baru ini.

Tidak mahu terus mengalah dengan takdir yang menimpa hidupnya, Surita memulakan pembacaan mengenai penyakit itu malah mula berinteraksi dengan wanita dari luar negara yang mempunyai masalah sama dengannya.

Dari situ katanya, dia mendapat tahu mengenai Himpunan Jutaan Wanita untuk Endometriosis yang berpangkalan di Washington dan California, Amerika Syarikat. Wanita itu mula menjalankan program kesedaran melalui pembentukan sekumpulan individu yang berdedikasi untuk mengubah persepsi orang ramai terhadap kesihatan haid dan mendaftarkan kumpulan itu secara sah.

“Di alam siber, kami memperkenalkan kumpulan ini sebagai MyEndosis di Facebook. Objektif kami untuk memberi kesedaran dan mendidik wanita dan orang awam mengenai endometriosis melalui ceramah yang dijalankan oleh pakar.

“Pernah juga saya berasa kecewa kerana ia dianggap sebagai tabu untuk bercakap soal kesihatan haid sedangkan ramai wanita yang terpaksa menyembunyikan kesakitan yang dialami,” katanya.

Surita yang juga pensyarah di Fakulti Industri Kreatif UTAR berkata, selepas didiagnosis penyakit itu kira-kira 14 tahun lalu, dia sudah menjalani banyak pembedahan malah lebih menggembirakan apabila selepas pembedahan pertamanya, dia dapat mengandung secara semula jadi.

“Ia satu perasaan yang luar biasa. Saya berjaya membuktikan doktor salah, tetapi sesuatu yang buruk berlaku kepada saya. Bayi saya meninggal dunia pada usia kandungan tujuh bulan.

“Tiada jawapan yang diberikan dan saya mengalami kemurungan selepas itu. Bagaimanapun saya tidak putus harapan dan hamil lagi pada 2004 dan anak perempuan saya dilahirkan pada 7 Oktober 2004.

“Dia dilahirkan pramatang kerana saya mengalami pendarahan semasa 34 minggu hamil. Pada Januari 2010, saya menjalani pembedahan dan hamil lagi enam bulan kemudian. Syukur yang tidak terhingga kerana saya tidak pernah terfikir saya akan bernasib baik lagi selepas kelahiran anak pertama saya,” katanya.

Katanya, walaupun mengalami beberapa masalah ketika mengandung dan melahirkan anak keduanya ketika itu, dia benar-benar bersyukur dan berterima kasih kerana dikurniakan dua cahaya mata walaupun menghidap endometriosis tahap empat.

“Selepas didiagnosa, saya melihat badan saya dengan cukup teliti. Saya mula ke arah pengambilan makanan organik dan mengelakkan gluten. Saya mula melakukan yoga dan kini bergantung pada ubat untuk mengawal keadaan endometriosis saya,” katanya.

Surita turut menggalakkan wanita yang menghidap penyakit itu untuk menyertai kumpulan sokongan seperti MyEndosis untuk berkongsi kesakitan emosi dan fizikal dengan orang lain yang boleh menjiwai kesakitan mereka. Berada dalam kumpulan sokongan akan membantu mereka mengurus emosi dengan baik.

Pameran seni terbabit turut dihadiri Ahli Lembaga MySihat Kementerian Kesihatan, Datuk Ng Fook Heng, Timbalan Presiden (Pembangunan Pelajar dan Hubungan Alumni) UTAR, Prof Dr The Chee Seng dan Perunding Perbidanan dan Sakit Puan Pusat Pakar Wanita dan Bersalin PJ, Dr Eric Tham.

Pameran unik dengan kerjasama MyEndosis, Bayer.Co dan UTAR itu memaparkan seni antaranya lukisan, ukiran dan arca sumbangan pesakit endometriosis, penjaga dan rakan pesakit untuk meningkatkan kesedaran wanita dan lelaki mengenai masalah organ kesuburan wanita yang dianggap tidak penting atau pantang untuk dibincangkan.

Sementara itu, Dr Eric berkata, endometriosis boleh memberi kesan kepada wanita pada sebarang usia dan sekiranya tidak didiagnosa akan menyebabkan penyakit itu menjadi lebih buruk.

“Ramai wanita yang mungkin tidak tahu atau menyedari mereka menghidap penyakit itu dan antara simptom awal adalah kesakitan. Justeru, mereka digalakkan agar mendapatkan bantuan pakar sakit puan untuk diagnosa,” katanya.

No comments:

Powered by Blogger.