Luahan Fizz Fairuz Dituduh Goda Pelakon Baharu
Fizz Fairuz jawab isu menggatal dengan Fara Mendoza melalui WeChat | Pelakon Fizz Fairuz menyifatkan tuduhan aktres baharu Fara Mendoza kononnya dia cuba memikat wanita itu menerusi perbualan aplikasi sosial WeChat adalah tidak masuk akal.
Fizz atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Zainil Abidin, 36, berkata, dia terkejut dengan gosip yang tersebar itu lebih-lebih lagi dia langsung tidak mengenali wanita berkenaan.
“Saya tidak pernah kenal apatah lagi jumpa atau berlakon dengannya. Jadi mana datangnya cerita saya cuba memikatnya?
“Jujurnya saya langsung tidak ada kena mengena dengan dia. Saya tak faham apa motif dia mendedahkan foto paparan skrin (screenshot) dan membuat kenyataan seperti itu.
“Hampir 24 jam saya bersama isteri dan anak-anak, bila masa pula saya nak buat perkara macam itu?” katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Selasa.
Pada pagi Selasa, sekeping foto paparan skrin yang menunjukkan perbualan Fara, 25, dan Fizz menjadi viral di laman sosial internet gara-gara aktres tersebuat yang memuat naik foto berkenaan di WeChat.
Bagaimanapun Fara telah memadamkan foto tersebut selepas diberitahu oleh rakannya Emma Maembong selang beberapa minit dia memuat naik status berkenaan di WeChat.
Sementara itu, Fizz berkata, dia tahu walaupun dia diberi peluang membuat kenyataan bagi menjelaskan situasi sebenar, dia sedar bahawa masyarakat tetap akan memandang serong terhadap dirinya.
“Saya tahu saya jahat. Tetapi itu dulu. Sekarang ini saya sudah mempunyai kehidupan sendiri bersama isteri yang saya sayang (Almy Nadia) dan anak-anak.
“Yang penting saya sudah membuat penjelasan kepada umum, begitu juga dengan isteri. Alhamdulillah, Almy faham dan menerima perkara ini dengan fikiran yang terbuka.
“Saya pun tidak mahu menuduh siapa-siapa dan malas nak melayan perkara remeh seperti ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Fizz turut menasihati kepada mana-mana pihak untuk mengambil kesempatan mengenakan golongan artis dengan pelbagai tohmahan yang tidak berasas.
“Kepada orang di luar sana yang mahu mengambil kesempatan, jangan memburukkan orang sebarang. Tetapi kalau nak buat juga, teruskanlah mengaibkan orang. Ingat, Tuhan tetap memberi balasan,” tegasnya.
No comments: